'Ada ustaz kata zalim' – Anwar jawab kritikan terhadap BUDI95

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir pihak termasuk pendakwah yang mengkritik pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani RON95 (BUDI95) tanpa memahami rasional di sebalik dasar tersebut.

Beliau berkata, ada pihak yang marah hanya kerana penurunan harga RON95 sebanyak enam sen memerlukan proses pendaftaran kad pengenalan (Mykad) untuk pengesahan sedangkan langkah itu perlu bagi memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Ada ustaz kata ini zalim, dia marah betul. Kawan hantar kepada saya, saya dengar dia kata pergi dakwah merata-rata. Minimum (isi minyak) 600 liter.

"Dia tidak fikir sebahagian kita bayar (300 liter) sebahagian orang lain bayar,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan pihak yang benar-benar memerlukan bantuan, namun menegaskan kerajaan perlu mengelakkan ketirisan yang menguntungkan pihak tidak layak.

“Kalau kita tidak buat begitu, orang lain dapat. Kenapa kita mahu warga asing dapat sedangkan dia bukan rakyat kita, tidak bayar cukai seperti kita?” tegasnya.

Sebelum ini tular tangkap layar hantaran didakwa seorang pendakwah selebriti yang mempersoalkan mengenai pelaksanaan subsidi RON95 dengan kuota 300 liter setiap individu bagi setiap bulan.

Bagaimanapun, pendakwah tersebut dipercayai menurunkan hantaran tersebut setelah menerima kritikan pelbagai pihak di ruangan komentar.

Anwar berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan sumber negara memanfaatkan keluarga dan masyarakat tempatan, manakala warga asing perlu membayar harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang keliru. Apabila kerajaan turunkan harga untuk warganegara, kita perlu tentukan siapa warganegara. Kalau tidak, orang lain dapat.

"Warga asing di Malaysia maksudnya orang luar yang tinggal di sini dan daftar kenderaan Malaysia.

"Mereka masih dapat harga relatif murah, tetapi bukan harga subsidi penuh. Kalau kenderaan luar (pendaftaran asing), mereka kekal bayar harga RON97," katanya.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter kepada rakyat Malaysia bermula Selasa depan.

Pelaksanaan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kestabilan sistem.

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir pihak termasuk pendakwah yang mengkritik pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani RON95
  • Ada yang marah kerana penurunan harga RON95 memerlukan proses pendaftaran MyKad
  • Langkah pendaftaran diperlukan untuk memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia
  • Seorang ustaz telah mengkritik program itu dengan keras, menyatakan ia sebagai zalim
  • Anwar Ibrahim membidas dengan menyatakan pentingnya pemahaman tentang pembahagian subsidi yang adil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!