Kematangan yang menyentuh hati

Baru-baru ini, Ayden Adrean anak sulung Bella Astillah, menarik perhatian menerusi ucapannya semasa majlis resepsi perkahwinan ibunya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Baru-baru ini, Ayden Adrean anak sulung Bella Astillah, menarik perhatian menerusi ucapannya semasa majlis resepsi perkahwinan ibunya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
A
A
A

TIDAK ramai kanak-kanak berusia sembilan tahun mampu berdiri di hadapan sebuah dewan yang dipenuhi tetamu, bercakap dengan penuh keyakinan dan menyusun kata-kata dengan begitu matang.

Baru-baru ini, Ayden Adrean anak sulung Bella Astillah, menarik perhatian menerusi ucapannya semasa majlis resepsi perkahwinan ibunya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kata-katanya bukan sahaja mengundang rasa sebak, malah memperlihatkan kematangan emosi yang mengagumkan untuk kanak-kanak seusianya. Membesar dalam keluarga yang melalui perpisahan bukan pengalaman mudah bagi seorang anak.

Mereka mungkin belum memahami sepenuhnya sebab sesuatu berlaku, tetapi tetap merasai kesannya. Dalam ucapannya, Ayden berkongsi bagaimana dia menyedari kesedihan ibunya dan berharap dapat melihatnya bahagia semula.

“Kadang-kadang saya tak berapa faham dengan semua benda yang berlaku.

“Saya cuma tahu yang Mummy tengah sedih dan sebagai anak lelaki dia, satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah untuk melihat Mummy tersenyum semula," katanya.

Ada kematangan dalam pengakuan itu. Ayden tidak mendakwa memahami segala-galanya. Sebaliknya, dia mengakui keterbatasan pemahamannya sambil menunjukkan keupayaan mengenali emosi ibunya dan menyampaikan perasaannya dengan jelas.

Kita sering menganggap anak-anak terlalu kecil untuk memahami keretakan rumah tangga.

Hakikatnya, mereka mungkin tidak mengetahui keseluruhan konflik, tetapi mereka melihat perubahan suasana, mendengar perbualan dan menyedari apabila ibu bapa tidak lagi bahagia.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman ini boleh mempengaruhi cara mereka memahami hubungan dan keluarga.

Ayden kemudian menceritakan perubahan yag diperhatikannya selepas Syed Saddiq hadir dalam kehidupan ibunya.

“Kemudian, awak (Daddy) hadir dalam hidup dia. Perlahan-lahan, saya mula nampak Mummy banyak tersenyum dan lebih banyak mendengar dia ketawa. Saya nampak Mummy kembali gembira semula,” katanya.

Dia bukan sekadar menyaksikan kebahagiaan pada hari perkahwinan, tetapi menyedari perjalanan emosi ibunya sebelum itu.

Ayden turut menyentuh soal penerimaan dalam keluarga baharu.

Dia turut meluahkan rasa terima kasih kerana Syed Saddiq menerima dirinya dan Ara dengan penuh kasih sayang, membuatkan mereka berasa sebahagian keluarga baharu itu.

"Terima kasih memilih Mummy dan mencintainya. Mummy, saya sangat sayangkan kamu,” katanya.

Bagi anak-anak, perubahan dalam kehidupan ibu bapa boleh menimbulkan persoalan tentang tempat mereka dalam keluarga.

Sebab itu, penerimaan dan rasa selamat amat penting. Mereka perlu tahu kehadiran individu baharu tidak mengurangkan kasih sayang yang mereka terima.

Di sinilah pentingnya didikan. Anak-anak bukan hanya belajar melalui nasihat, tetapi juga dengan memerhatikan cara ibu bapa mengendalikan emosi, melayan orang lain dan menghadapi kesukaran. Dalam banyak hal, mereka mencerminkan nilai yang diamalkan di rumah.

Dalam konteks Bella, ucapan Ayden memberikan gambaran tentang seorang anak yang mampu menyampaikan empati dan penghargaan dengan penuh tertib.

Walaupun satu ucapan tidak dapat menggambarkan keseluruhan didikan seseorang ibu, ia mengingatkan kita bahawa persekitaran keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi anak-anak.

Ibu bapa tidak mampu melindungi anak daripada setiap kesedihan, tetapi boleh membantu anak memahami perubahan tanpa membebankan mereka dengan masalah orang dewasa.

Pada usia sembilan tahun, Ayden mengingatkan bahawa anak-anak memahami lebih daripada yang kita sangka.

Mereka mungkin tidak mempunyai jawapan kepada segala persoalan, tetapi mereka tahu apabila seseorang disayangi sedang terluka. Dan kadangkala, apa yang mereka inginkan hanyalah melihat orang itu kembali bahagia.

*Syahirah Mokhtazar ialah Editor Pop Family

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!