Semak kelayakan subsidi BUDI95 di portal mudah, pantas

SHAH ALAM - Penyediaan portal www.budimadani.gov.my telah membantu rakyat menyemak profil kelayakan dan baki penggunaan bulanan subsidi petrol melalui inisiatif Budi Madani (BUDI95) dengan lebih pantas.
Pekerja swasta, Mohd Khairol Nizam Shuhaimi, 37, berkata, meskipun kaedah semakan dengan menaip di enjin carian, penggunaannya amat mudah difahami.
"Penggunaan portal yang mudah dan senang dengan hanya memasukkan nombor MyKad sahaja. Malah pencarian yang dilakukan pantas tanpa ada gangguan sepertimana aplikasi MyKasih sebelum ini.
"Semakan pun sudah dilakukan hanya tunggu hujung bulan ini untuk menikmati maaf yang telah diberikan kerajaan," katanya.
Bagi Muhammad Hazeeq Roslin, 26, dia gembira layak menerima manfaat BUDI95 setelah semakan dilakukan menerusi portal yang disediakan.
"Proses semakan mudah dan cepat, tidaklah sulit sangat. Menerusi portal itu, sebenarnya banyak manfaat yang disediakan kerajaan kepada individu dan kenderaan awam.
"Saya akan menggunakan aplikasi Setel kerana lebih memudahkan tanpa perlu ke kaunter kerana melihat trend pemberian kerajaan sebelum ini, hari pertama sudah tertentu ramai yang menyerbu untuk menikmati manfaat diberikan," katanya.
Eksekutif projek, Nur Asma Husna Mohamad Fuad, 35, mencadangkan supaya portal itu dijadikan aplikasi bagi memudahkan pengguna membuat semakan baki penggunaan berbanding menaip di enjin carian.
"Semakan melalui portal tadi pun senang dan saya layak menerima BUDI95. Untuk jangka panjang bagi membuat semakan baki penggunaan adalah baik menerusi aplikasi.
"Bagaimanapun saya bersyukur menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi itu dan tentunya ia dapat menjimatkan perbelanjaan petrol bulanan saya berikutan tuntutan kerja yang sentiasa bergerak," katanya.
Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan menggunakan MyKad.
Had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan, yang mana anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula Sabtu ini, diikuti 8.6 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) keesokannya, sebelum inisiatif itu diperluaskan kepada pengguna lain pada 30 September ini.
Ringkasan AI
- Portal www.budimadani.gov.my memudahkan rakyat menyemak kelayakan dan baki penggunaan subsidi petrol melalui inisiatif Budi Madani
- Pengguna menilai portal tersebut mudah digunakan dengan hanya memerlukan nombor MyKad untuk membuat semakan
- Manfaat BUDI95 termasuk pengurangan harga RON95 menjadi RM1.99 seliter, bertujuan menjimatkan perbelanjaan pengguna
- Ada cadangan agar portal dijadikan aplikasi untuk kemudahan semakan baki penggunaan yang lebih lanjut
- Had kelayakan subsidi ditetapkan pada 300 liter sebulan, dengan anggota tentera dan polis mendapat manfaat lebih awal, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah dan pengguna lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
