Projek RTB gagal disiapkan sejak 14 tahun lalu punca banjir berulang - ADUN

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Anak Bukit yang dimulakan sejak 2011 masih gagal disiapkan sehingga kini, sekali gus menimbulkan keresahan penduduk yang saban tahun berdepan kerugian besar akibat banjir berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada Oktober depan selepas beberapa kali janji penyelesaian dibuat oleh pihak kontraktor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurutnya, ‘projek sakit’ ini sudah berlarutan 14 tahun dan dikenal pasti antara punca berlakunya banjir di kawasan sekitar.
“Selepas banjir besar pada Disember 2024, saya dimaklumkan jambatan di Sungai Baru yang merentangi projek RTB akan siap pada April dan jambatan di Kuala Sungai siap pada Jun. Namun sehingga kini kerja-kerja terhenti, pekerja pun tiada sejak dua bulan lalu. Ia jelas terbengkalai,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan menyiapkan RTB menyebabkan aliran sungai terputus dan memburukkan keadaan setiap kali hujan lebat, malah kawasan Anak Bukit yang merupakan ‘hotspot banjir’ semakin berisiko.
“DUN Anak Bukit adalah lembangan sungai dan kerap berlakunya banjir, sepatutnya Kerajaan Persekutuan lebih serius menjaga kebajikan penduduk sekitar.
“Penduduk menderita setiap tahun. Bila banjir, harta benda rosak, infrastruktur musnah dan sawah padi turut tenggelam. Penduduk tak mahu perkara ini berulang lagi pada hujung tahun ini.
“Sungai Baru sepanjang empat kilometer ini juga semakin cetek, jika berlaku banjir seluruh kampung terjejas berbanding hanya lokasi tertentu 15 tahun lalu,” ujarnya.
Rashidi berkata, beliau sudah mengemukakan permohonan memperdalamkan Sungai Anak Bukit kepada kerajaan negeri untuk dipanjangkan kepada Kerajaan Persekutuan, memandangkan peruntukan bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.
“Sungai Anak Bukit tidak pernah diperdalamkan, cuma dilakukan pembersihan termasuk Sungai Baru yang dulunya lebar dan menjadi laluan utama bot. Harap permohonan dipercepatkan dan diambil tindakan,” katanya lagi.
Tambah beliau, beberapa inisiatif berskala kecil sudah dilaksanakan termasuk menggantikan tiga titi lama di Mukim Sungai Baru, menaik taraf lima saliran tanah kepada konkrit sepanjang 150 meter setiap satu serta menambah jajaran tebing sungai menggunakan bakau bagi menahan hakisan.
“Sebelum ini, penduduk mengadu titi berusia 60 tahun usang dan membahayakan selain kedudukan titi rendah menghalang aliran air sungai ke muara. Sampah sarap tersangkut menyebabkan aliran melimpah ke kampung dan sawah padi. Tebing sungai turut terhakis dan runtuh menyebabkan sungai semakin sempit,” katanya.
Pada 10 September, Sinar Harian melaporkan penduduk Mukim Sungai Baru melibatkan empat buah kampung, iaitu Kampung Sungai Baru Tok Keramat, Kampung Sungai Baru Tengah, Kampung Sungai Baru Hilir dan Kampung Sungai Baru Kuala Sungai mahu penyelesaian segera terhadap masalah banjir kerana sudah ‘letih’ menghadapinya saban tahun.
Penduduk resah setiap kali tibanya musim hujan berterusan, khususnya bermula Oktober dan berlanjutan sehingga musim tengkujuh.
Masalah banjir di kawasan tersebut dikatakan sudah berlarutan puluhan tahun, antara situasi paling buruk adalah ketika banjir besar pada 2010 dan kembali berulang tahun lepas membabitkan lebih 600 buah rumah penduduk.
Selain faktor cuaca, penduduk mendakwa sistem saliran tidak sempurna, sungai cetek akibat mendapan serta sikap segelintir penduduk membuang sampah ke dalam sungai memburukkan lagi keadaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

