Sindiket seludup minyak masak ‘Datuk John’ tumpas, lapan direman

Azman (kanan) memeriksa minyak masak ditemukan dalam dua lori yang telah dirampas. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Azman (kanan) memeriksa minyak masak ditemukan dalam dua lori yang telah dirampas. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi diketuai seorang lelaki bergelar Datuk John akhirnya tumpas selepas lapan individu termasuk dua penjawat awam ditahan dalam satu operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan pada Khamis.

Kesemua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti ‘counter setting’ bagi melancarkan pergerakan sindiket itu di pintu masuk sempadan negara.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, operasi yang melibatkan tiga serbuan berasingan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) sekitar Kota Bharu dan Pasir Puteh itu bermula pada jam 7.05 malam.

Azman
Azman

Menurutnya, hasil serbuan itu, lebih 11 tan minyak masak bernilai RM27,625 yang ditemukan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna mewah jenis Toyota Vellfire, sebuah pacuan empat roda dan dua lori telah dirampas dan nilai keseluruhan rampasan ialah RM482,225.

“Ketua sindiket yang digelar Datuk John berusia 28 tahun ini telah lama diburu, sejak 2023 kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes lampau di Pasir Mas.

“Kedua-dua penjawat awam berusia 27 dan 41 tahun pula dipercayai membantu sindiket di kaunter pemeriksaan bagi memudahkan kenderaan membawa minyak masak bersubsidi melepasi sempadan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KPDN di sini pada Jumaat.

Lapan individu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Lapan individu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Azman, sindiket itu dikesan bertindak licik memindahkan minyak masak bersubsidi dari lori ke Toyota Vellfire yang dipercayai akan dibawa melalui laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang atau Sungai Golok untuk diseludup ke Thailand.

Artikel Berkaitan:

“Minyak ini dipercayai merupakan bekalan dari Negeri Sembilan dan Selangor yang dibawa ke Kelantan.

“Kita tidak menolak kemungkinan minyak ini dihantar ke pasaran gelap di negara jiran dan mereka mempunyai rangkaian di sana,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kesemua suspek dibawa ke mahkamah pada Jumaat untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut bermula hari ini (Jumaat) hingga Isnin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!