X

Kindly register in order to view this article
!

Kestabilan dan kebudimanan politik

A
A

NEGARA sedang melalui antara detik paling sukar dalam sejarah Malaysia merdeka sejak 1957. Situasi yang sama juga sedang dilalui oleh dunia umumnya. Ketakutan terhadap ancaman Covid-19 dirasakan hampir di seluruh dunia.

Walaupun kita belum lagi sampai ke tahap di mana darurat terpaksa diisytiharkan, namun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 gara-gara ancaman Covid-19 ini sudah cukup memeritkan.

Cengkaman dan bahaya Covid-19 masih menggugat dunia. Kita masih belum bebas daripada ancaman penyakit berbahaya ini selagi rantaian jangkitannya belum dapat diputuskan secara tuntas dan penawarnya ditemui.

Ini belum lagi dikira mengenai malapetaka ekonomi yang sedang dilalui oleh dunia di mana Malaysia tidak terkecuali. Inilah tugas berat yang sedang dipikul dan perlu ditangani oleh kerajaan dunia.

Implikasi keperitan ini telah mula dirasai oleh rakyat dan penduduk dunia. Dunia mungkin memerlukan tempoh beberapa tahun lagi bagi memulihkan kembali keadaan dan berkembang maju semula. Malaysia juga sama sekali tidak terkecuali.

Ketika ancaman Covid-19 mula mencengkam negara, kita dikejutkan dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.

Kerajaan yang dibentuk pada 9 Mei 2018 itu hanya bertahan selama 22 bulan sahaja setelah dilanda krisis perpecahan dalaman yang teruk gara-gara perebutan kuasa. Malahan selama 22 bulan mentadbir negara, kerajaan PH dibelenggu dengan pelbagai isu sehingga dilihat gagal mengurus negara sepertimana yang mereka janjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, sehingga PH sering dimomokkan sebagai kerajaan satu penggal (one term government).

Ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan drastik keluar daripada PH dan ini disusuli dengan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 11 ahli Parlimen PKR yang lain turut mengambil tindakan sama.

GabunganMereka kemudiannya bergabung dengan gabungan UMNO/BN dan Pas yang membentuk Muafakat Nasional lalu terbentuklah satu gabungan politik baharu yang mereka namakan Perikatan Nasional.

Perikatan Nasional turut mendapat sokongan beberapa ahli Parlimen bebas dari Sabah dan Sarawak dan ia diperkuatkan lagi apabila Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) turut menyertai Perikatan Nasional. Demikianlah terbentuknya sebuah gabungan politik baharu di Malaysia di tengah-tengah wabak Covid-19 melanda negara dan dunia.

Perikatan Nasional telah membuktikan yang mereka mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, lalu seterusnya baginda melantik Muyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan menggantikan Dr Mahathir.

Persoalan besar yang masih menjadi tanda tanya dan kemusykilan ramai pemerhati politik dalam dan luar negara ialah berapa kebal dan stabilkah kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin ini?

Ini ekoran pihak PH dan Dr Mahathir sendiri telah menyatakan bahawa satu usul undi tidak percaya akan cuba dibawa di Parlimen sebaik sahaja Parlimen kembali bersidang Mei nanti.

Jika kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin berjaya mengatasi undi tidak percaya di Parlimen, sejauh mana pula kerajaan Perikatan Nasional boleh terus bekerjasama sebagai satu pasukan yang sebelumnya bertarung hebat sebagai lawan dan seteru politik di gelanggang politik Malaysia?

Kemusykilan dan keraguan ini tidak boleh dipandang enteng kerana sebaik sahaja Kabinet baharu diumumkan, sudah berbunyi suara-suara tidak puas hati khususnya dalam kalangan pimpinan dan ahli Parlimen UMNO, yang merasakan komposisi Kabinet baharu Muhyiddin tidak mencerminkan representasi UMNO sebagai parti terbesar dalam Perikatan Nasional.

Selain itu, beberapa tokoh kanan dalam kepimpinan UMNO turut tidak tersenarai dalam Kabinet baharu. Malahan sudah ada yang menyebut Perikatan Nasional hanyalah kerjasama antara ahli-ahli Parlimen dan bukannya kerjasama antara parti. Ada juga kenyataan bahawa kerjasama politik itu hanya setakat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15. Kerjasama politikSelain itu, PPBM juga sedang bergolak. Ini ekoran kumpulan Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Presiden parti, secara terbuka menolak kerjasama politik Perikatan Nasional atas dakwaan bekerjasama dengan pihak yang terlibat dengan amalan kleptokrasi.

Tindakan Mukhriz dan kumpulannya yang mengambil keputusan mencabar Muhyidin sebagai Presiden parti PPBM dan meletakkan orang-orangnya bertanding di hampir semua peringkat pimpinan tertinggi PPBM menjelang pemilihan parti itu Jun ini tentunya turut menambah kepada spekulasi sejauh mana kerajaan Perikatan Nasional ini mampu bertahan?

Di sinilah terletaknya kepentingan pengalaman Muhyiddin dalam arena politik selama lebih 40 tahun. Kebijaksanaan dan daya pimpinan beliau pasti teruji hebat dalam mengharungi semua cabaran besar itu.

Justeru, apakah prospek kejayaan beliau? Apakah langkah-langkah yang perlu diambil beliau dan kerajaan Perikatan Nasional dalam mendepani semua senario itu?

Barangkali saya memerlukan satu ruang yang lain bagi membahaskan semua isu dan persoalan itu. Namun, memadailah saya menyebut bahawa di satu sisi negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19 dan prospek kemelesetan ekonomi dunia yang bakal melanda manakala di sisi lain pula, senario politik negara juga perlu diurus sebaiknya bagi memastikan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19 tidak terganggu atau diburukkan lagi oleh suasana ketidakstabilan politik yang berpanjangan.

Ahli-ahli politik dan semua rakyat harus meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya. Ini bukan masanya untuk kita terus menggugat kestabilan negara dan terus-terusan bermain politik seperti yang kita pernah lakukan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Ahli-ahli politik Malaysia termasuk di pihak pembangkang harus memperlihatkan kematangan dan kebijaksanaan mereka sebagai orang budiman dalam politik. Kebudimanan politik harus mengatasi kerakusan politik kuasa.

Keikhlasan dan kejujuran politik semua pihak penting dalam mengembalikan kesejahteraan negara dan masyarakat.

Kestabilan kerajaan dan kestabilan politik negara adalah teras segala-galanya. Tanpanya, Malaysia bakal terjerumus ke dalam kemelut politik dan ekonomi yang tidak berkesudahan.

Saya mempunyai keyakinan bahawa Muhyiddin dan barisan Kabinet beliau mampu melalui semua ujian getir ini dengan jayanya. Syaratnya satu sahaja, bekerjalah dengan ikhlas dan jujur demi negara dan sentiasa meletakkan kepentingan negara mengatasi lain-lain kepentingan.