Counter setting: JIM tunggu laporan SPRM

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan pegawai jabatan itu yang disiasat dalam skandal ‘counter setting’.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kes berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, JIM akan terus memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam usaha mengesan sindiket yang terlibat.
“Kita tidak akan beri ruang untuk mereka terus bertapak dalam JIM serta di pintu masuk negara.
“Buat masa ini, saya menunggu laporan daripada SPRM. Kita tunggu maklum balas mereka sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pegawai yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, masih terdapat pegawai yang kini dalam tahanan reman SPRM.
Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa pihaknya sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan rakan rapat individu yang ditahan berhubung kes berkenaan.
Sebelum ini, Azam turut mendedahkan bahawa pegawai penguat kuasa terbabit dipercayai menerima wang rasuah antara RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.
Bayaran tersebut dibuat secara tunai dan juga melalui akaun keldai.
Secara purata, pegawai yang terlibat dipercayai menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan, bergantung kepada bilangan warga asing yang dilepaskan.
Menerusi operasi yang bermula pada 9 September lalu, SPRM melalui Op Rentas menahan seramai 30 individu, termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.
Tangkapan dilaksanakan di beberapa negeri, antaranya Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia menunggu laporan daripada SPRM berkaitan penahanan pegawai terbabit dalam skandal 'counter setting'
- Kes tersebut sepenuhnya diserahkan kepada SPRM untuk dijalankan siasatan
- JIM berikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk mengesan sindiket
- Pegawai yang terlibat dalam skandal tersebut masih dalam tahanan reman SPRM
- Operasi SPRM menahan 30 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa dalam usaha memerangi skandal tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
