Kalaulah Pahang ada tapak roket pertama Malaysia

PAHANG selama ini sinonim dengan durian musang king. Bila sebut negeri itu, Merak Jalanan terbayang bau harum raja buah, bukannya gegaran roket.
Tapi cuba bayangkan satu hari nanti, bukan sahaja lori durian beratur di jalan Bentong, malah pelancong juga berpusu-pusu mahu melihat roket Malaysia memecut ke langit dari pantai Kuantan.
Ini tak mustahil. Kerajaan baru-baru ini sasarkan Malaysia akan ada tapak pelancar roket pertama menjelang 2029. Bunyinya macam jauh, tapi sebenarnya cuma satu kitaran pilihan raya saja lagi. Lokasinya? Pahang, Sabah atau Sarawak. Kalau jadi, ini yang pertama di Asia Tenggara.
Di Amerika, Florida punya Kennedy Space Center keluasan lebih 56,000 hektar. Di Kazakhstan, Baikonur Cosmodrome pula hampir sebesar negeri Melaka. Dr Sheikh Muszaphar Shukor juga berlepas ke ISS dari sini pada 2007.
Kalau Malaysia serius mahu jadikan Pahang tapak pelancaran, saiz dan jarak dari penempatan penduduk mungkin jadi isu. Untuk lancarkan roket bersaiz kecil sekadar cukup bawa satelit pun, masih perlukan kawasan seluas 400 padang bola FIFA.
Bagusnya ialah Malaysia kurangkan kebergantungan pada negara luar. Satelit komunikasi, cuaca, pertanian semua boleh dilancar sendiri. Kini kita hanya ada sekitar tiga ke empat satelit aktif, jauh di belakang Indonesia (20 lebih), Singapura (15) dan Thailand (10). Dengan tapak sendiri, kita boleh tambah jumlah satelit lebih kerap, sekali gus naikkan daya saing.
Namun sebaliknya, rakyat negeri pasti risau. Tanah kena ambil? Bunyi melebihi 200 desibel? Habitat gajah dan harimau dikorbankan? Itu belum kira kos bilion ringgit yang boleh jadi isu politik.
Tapi siapa tahu. Kalau roket betul-betul dilancar dari Pahang, negeri itu akan jadi terkenal dengan dua perkara bau durian dan bunyi roket. Dua-dua buat orang teruja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
