Malaysia siap sedia ketuai perbincangan global tentang masa depan keselamatan sosial

SHAH ALAM - Tumpuan dunia terarah kepada Malaysia apabila Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 (WSSF) bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama lima hari bermula dari 29 September hingga 3 Oktober depan.
Forum dwitahunan peringkat global itu akan menghimpunkan pemimpin dari 300 organisasi keselamatan sosial seluruh benua bagi membincangkan cabaran perlindungan sosial dalam dunia yang sentiasa berubah dengan pantas.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, forum dengan tema 'Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia dalam Peralihan' itu juga membincangkan peluang yang wujud akibat perubahan demografi global, dinamik pasaran buruh serta kemajuan teknologi, di samping meneroka usaha ke arah memastikan kelestarian isu berkenaan.
"WSSF 2025 merupakan platform penting untuk membincangkan dan meneroka idea baharu, inovasi serta pendekatan futuristik.
"Forum ini akan menjadi ruang utama untuk pertukaran ilmu dan kerjasama antarabangsa, merangkumi sesi pleno, sesi selari, sesi interaktif, bengkel serta tutorial zon inovasi bagi memberikan pengalaman menyeluruh dan mendalam kepada semua peserta.
"Buat julung kalinya, forum ini akan memperkenalkan Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa, yang direka khas untuk meraikan komitmen mereka dalam mempromosikan keselamatan sosial," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Acara tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Lebih 1,500 perwakilan dari 150 negara dijangka hadir, termasuk barisan menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil daripada organisasi antarabangsa.
Antara peserta ternama ialah Ketua Global Bank Dunia dalam bidang Penuaan dan Pencen, Fiona Elizabeth Stewart serta Pengarah Perlindungan Sosial Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Razavi Shahrashoub.
Delegasi dari Amerika Syarikat (AS), China, Jerman, Sepanyol, Brazil, Iceland, Switzerland, Oman, Cameroon, Türkiye, India dan Uruguay juga akan mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Selain itu, Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA akan diberikan kepada mana-mana negara yang menunjukkan kejayaan luar biasa dalam memperkukuh sistem keselamatan sosial.
Untuk makluman, WSSF 2025 dianjurkan oleh ISSA dengan kerjasama PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Program tersebut turut mendapat sokongan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) selaku sekretariat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).
Sebarang maklumat lanjut mengenai forum, sila layari laman web www.issa.int/wssf2025
Ringkasan AI
- Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 akan berlangsung di KLCC selama lima hari
- Ia merupakan forum dwitahunan yang menghimpunkan pemimpin dari 300 organisasi keselamatan sosial
- Tema forum adalah 'Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia dalam Peralihan'
- Forum ini akan memperkenalkan Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa
- Diorganisasi oleh ISSA dengan kerjasama PERKESO dan KWSP, mendapat sokongan dari KWAP dan ICU-JPM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

