Melaka jadi tumpuan dunia, MOTAC anjur WTD dan WTC 2025

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama UN Tourism serta kerajaan negeri Melaka akan menganjurkan Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 bermula hari ini hingga 29 September di Melaka.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, bertemakan Tourism & Sustainable Transformation, penganjuran itu selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang mencerminkan aspirasi negara ke arah pembangunan seimbang, pemeliharaan alam sekitar dan pemuliharaan budaya.
Persidangan tersebut bertujuan memperkukuh komitmen bersama dalam memacu pelancongan mampan dan berdaya tahan, di samping meningkatkan kerjasama serantau serta antarabangsa.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala ucapan alu-aluan akan disampaikan oleh Setiausaha Agung UN Tourism, Zurab Pololikashvili, diikuti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan ucapan pembukaan.
MOTAC turut menjemput wakil negara dari Sekretariat UN Tourism, penceramah, pakar industri dan wakil media tempatan dan antarabangsa.
“Persidangan ini akan menjadi medan perbincangan pelbagai topik termasuk kerjasama rentas sektor, kecerdasan buatan, pemerkasaan komuniti dan hala tuju pertumbuhan mampan tanpa menjejaskan budaya, alam semula jadi serta matlamat perubahan iklim global.
“MOTAC percaya topik tersebut bertepatan dengan nilai Malaysia Madani yang menekankan kelestarian, inovasi dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya,” katanya.
Melaka dipilih sebagai lokasi penganjuran WTC kerana keberkesanan dalam mempromosikan budaya dan memelihara warisan sambil menyeimbangkan transformasi ekonomi dengan keadilan, sekali gus memastikan manfaat jangka panjang yang mampan kepada destinasi, komuniti tempatan serta pelancong.
Lawatan teknikal juga akan diadakan termasuk jejak Belanda dan warisan, pengalaman kulinari Rasa-Rasa Melaka serta Eco Cruise Melaka yang memberi gambaran menyeluruh mengenai sejarah, warisan, selain budaya negeri itu.
Bersempena acara tersebut, pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 September di Encore, Melaka.
Pelbagai acara poket WTD turut dianjurkan untuk orang ramai bermula 20 hingga 28 September, antaranya Pameran Erique de Melacca, Pameran Seni Warisan Kebudayaan Tidak Ketara, Karnival WTD dan Pesta Konda Kondi.
Persidangan bertaraf dunia itu turut dimeriahkan dengan Pesta Kopi & Kamu, Larian Warisan, Festival Layang-layang Antarabangsa, Karnival Usahawan Negeri Melaka, Visit Malaysia Travel Meet (VMTM) dan persembahan tarian zapin.
MOTAC menggalakkan masyarakat untuk mengambil inisiatif dan menyertai secara aktif usaha pemuliharaan budaya serta transformasi pelancongan.
Ringkasan AI
- MOTAC, UN Tourism dan kerajaan Melaka menganjurkan Hari Pelancongan Dunia dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025 di Melaka
- Bertemakan Tourism & Sustainable Transformation, acara ini selaras dengan prinsip Malaysia Madani untuk pembangunan seimbang dan pemeliharaan alam sekitar
- Persidangan bertujuan memperkukuh komitmen untuk pelancongan mampan dan meningkatkan kerjasama serantau serta antarabangsa
- Melaka dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana keberkesanannya dalam mempromosikan budaya dan memelihara warisan
- Pelbagai acara poket dianjurkan untuk orang ramai termasuk Pameran Erique de Melacca dan Karnival WTD
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

