Etika Muslim ketika hadapi kandungan menghina Islam

ERA media sosial yang serba pantas menyaksikan pelbagai maklumat tersebar dalam sekelip mata.
Malangnya, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyebarkan kandungan berbentuk provokasi termasuk video atau klip lagu yang menghina Islam.
Jika diikutkan rasa hati yang meluap-luap, sudah tentu ramai mengambil jalan pintas dengan melampiaskan kemarahan masing-masing secara semberono.
Mengulas fenomena itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, setiap Muslim wajib mempertahankan kesucian agama, namun tindakan balas perlu dilakukan dengan penuh berhemah dan berpandukan syarak.
“Sebagai umat Islam, kita berperanan untuk mempertahankan kesucian agama kita apabila dihina, namun syarak telah menetapkan beberapa etika dalam tindak-tanduk kita apabila menghadapi provokasi tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-325: Tindakan masyarakat terhadap video klip lagu yang menghina agama yang disiarkan dalam laman web pejabat mufti berkenaan baru-baru ini.

Berikut merupakan etika yang diajarkan dalam Islam:
1. Tidak membalas hinaan dengan cercaan yang serupa
Umat Islam tidak boleh bertindak balas dengan menghina kembali agama mereka atau simbol-simbolnya yang akan menyebabkan reaksi mereka mencela agama Islam kembali.
Tindakan itu boleh mendatangkan keburukan terhadap imej Islam dan boleh menjauhkan mereka terhadap agama suci tersebut.
Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain ALLAH kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki ALLAH melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (Surah al-An’am: 108)
2. Bersabar menghadapi celaan
Demikianlah akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW dan terdapat saranan daripada al-Quran.
ALLAH SWT berfirman: “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu) dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.” (Surah al-Muzammil: 10)

3. Balas keburukan dengan kebaikan
ALLAH SWT menyarankan kepada hamba-NYA supaya membalas dengan kebaikan, kesabaran dan kemaafan apabila menghadapi keburukan, kekasaran, celaan serta seumpamanya.
Menurut Imam Al-Maraghi, apabila kita menghadapi keburukan dan celaan dengan kebaikan serta kesabaran, ia menyebabkan individu yang melakukan keburukan itu berasa malu dengan diri dan kelakuan mereka serta meninggalkan perbuatan tersebut.
4. Tidak menularkan kandungan menghina Islam dan bercanggah dengan hukum syarak
Ketahuilah bahawa tindakan menonton, menyokong, menularkan dan seumpamanya akan memberi kredit dan rating kepada kandungan tersebut, malah menyebabkan ia tersebar lebih luas.
Bukan apa, bimbang jika perbuatan itu termasuk dalam kalangan membantu dalam keburukan dan maksiat.
Ia sebagaimana disebutkan menerusi firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH MAHA BERAT azab seksa-NYA (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA).” (Surah al-Maidah: 2)

5. Melaporkan video yang ada kandungan kontroversi atau penghinaan terhadap agama Islam
Di Malaysia, kita ada sistem undang-undang untuk mengekang perkara itu dan mana-mana individu yang memuat naik video penghinaan terhadap agama Islam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sememangnya undang-undang dicipta oleh pihak kerajaan untuk menjaga kepentingan masyarakat.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan umat Islam agar menampilkan akhlak mulia walaupun berhadapan dengan musuh, sebagaimana Rasulullah SAW memperlakukan tawanan perang dengan penuh ihsan.
Demikian pandangan tokoh Islam, Dr Muhammad ‘Imarah dalam karyanya, Ihtiram al-Muqaddasat.
“Bersabar terhadap ujian dan cabaran serta sentiasa menjaga tingkah laku dan mempamerkan akhlak seorang Muslim agar mendapat keredaan ALLAH SWT,” kata pejabat mufti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
