Kursus pengajian universiti di Malaysia masih relevan selaras keperluan - Zambry

KOTA KINABALU - Kursus pengajian di universiti di negara ini masih relevan selaras dengan keperluan pasaran serta perancangan kerajaan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program pengajian yang ditawarkan di universiti kini tidak relevan kerana tidak selaras dengan keperluan industri, adalah tidak benar.
"Kita sentiasa ingin tekankan di sini bahawa universiti, khususnya di peringkat kementerian mengambil pendekatan keseluruhan kerajaan atau 'whole of government'.
"Maknanya, bagi perancangan masa depan keperluan pasaran negara dalam industri tertentu, pihak kementerian yang ada sentiasa bekerjasama kerana kita mahu pastikan universiti awam atau universiti swasta memberikan khusus yang ada nilainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program "Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan: Era Baharu Kepimpinan” anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, proses untuk membuat penilaian terhadap keperluan pasaran akan sentiasa dilakukan, khususnya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan di peringkat Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI).
"Program yang diatur itu sentiasa berada dalam perancangan bersama di peringkat pelbagai kementerian bagi memenuhi keperluan negara. Mungkin ada satu pihak yang melihat dari segi keperluan industri tertentu tetapi dalam konteks perancangan kita melihat secara keseluruhan dalam pelbagai sektor.
"Ada bidang yang mempunyai keperluan di pasaran tetapi asas kepada teras pendidikan kita tidak boleh korbankan kerana ia menjadi asas untuk membentuk manusia. Itu jangan kita lupa," tambahnya.
Ujarnya, pihak kementerian, MQA dan universiti sentiasa membuat penilaian dalam tempoh tiga ke lima tahun bagi satu-satu kursus untuk memastikan sama ada kursus itu masih relevan atau tidak dengan kehendak pasaran. - Bernama
Ringkasan AI
- Kursus pengajian di universiti Malaysia relevan dengan keperluan pasaran dan perancangan kerajaan menurut Menteri Pendidikan Tinggi
- Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menafikan dakwaan pengajian universiti tidak selaras dengan industri
- Pendekatan keseluruhan kerajaan diambil untuk memastikan kursus bernilai kepada keperluan pasaran dan industri
- Agensi Kelayakan Malaysia dan CQI sentiasa membuat penilaian untuk memastikan kursus relevan dengan keperluan pasaran
- Penilaian dilakukan setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan relevansi kursus dengan kehendak pasaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
