Siasatan SPRM terhadap Tun M bukan bermotif politik - Pakar Kriminologi

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Kassim Noor
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Kassim Noor
A
A
A

KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemilikan aset luar negara tidak bermotifkan politik.

Pakar Kriminologi, Datuk Dr Kassim Noor Mohamed berkata, sebelum ini SPRM merekodkan kadar sabitan kes rasuah melebihi 80 peratus, sekali gus menolak dakwaan kononnya siasatan yang dijalankan hanya bermotifkan politik.

Menurutnya, rekod SPRM sebelum ini menunjukkan siasatan melibatkan pemimpin kerajaan dan pembangkang termasuk Datuk Seri Najib Razak, Lim Guan Eng, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

"Mengikut undang-undang, SPRM hanya berperanan menjalankan siasatan, manakala keputusan untuk mendakwa terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya pada Khamis.

Beliau berkata, awal tahun ini, dua anak Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani turut dipanggil SPRM untuk mengisytiharkan aset masing-masing bernilai RM246 juta dan lebih RM1 bilion.

Katanya, setakat ini, siasatan terhadap Mahathir masih di peringkat awal dan sama ada ia akan diteruskan ke mahkamah bergantung kepada bukti yang dikumpul.

"Siasatan itu dilaporkan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa United Kingdom susulan pendedahan Pandora Papers dan Panama Papers yang membongkar kekayaan tersembunyi pemimpin dunia, bilionair dan selebriti.

"Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi bercampur-campur apabila penyokong melihatnya sebagai langkah akauntabiliti, manakala pengkritik menuduh ia bermotifkan politik," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada April 2024 dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.

Artikel Berkaitan:

Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak Mahathir diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, SPRM memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui kerjasama dengan National Crime Agency (NCA) United Kingdom pada Disember tahun lalu bagi membantu siasatan membabitkan Dr Mahathir, keluarga dan sekutunya.

Ringkasan AI

  • Siasatan SPRM terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bermotifkan politik
  • SPRM memiliki rekod sabitan kes rasuah melebihi 80 peratus
  • Siasatan melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa United Kingdom berdasarkan Pandora Papers dan Panama Papers
  • Dua anak Mahathir dipanggil SPRM untuk mengisytiharkan aset bernilai jutaan ringgit
  • Keputusan mendakwa berada di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!