[VIDEO] Global Sumud Flotilla: Delegasi Malaysia bangga kenyataan tegas PM

A
A
A

PUTRAJAYA – Seramai 34 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) berjalan dengan penuh bangga di atas bot selepas kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan tegas menggesa negara-negara Arab menghentikan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

Perkara itu dikongsikan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Kamaruzaman, kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui panggilan video pada Rabu.

“Bagi saya, itu kenyataan besar. Kami berjalan dengan bangga dalam bot kerana semua orang terkejut dengan kenyataan berani kerajaan Malaysia. Insya-ALLAH kerajaan Malaysia dan kami akan selamat pulang,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa tindakan tegas dan hukuman keras dilaksanakan terhadap Israel, termasuk menghentikan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis itu.

Ketika menyampaikan kenyataan negara sempena Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, beliau menegaskan bahawa kecaman dan deklarasi semata-mata tidak lagi memadai untuk menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Ahmad Zahid berhubung dengan Musa menerusi panggilan video pada Rabu.
Ahmad Zahid berhubung dengan Musa menerusi panggilan video pada Rabu.

Menurut Musa, kenyataan tegas itu dianggap sebagai titik perubahan penting oleh delegasi GSF.

"Ia memberi keberanian tambahan kepada kami untuk meneruskan pelayaran meskipun berdepan ancaman berterusan di laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa suara Malaysia akan dibawa ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bagi mendesak masyarakat dunia membuka mata terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan konvoi selepas menerima laporan mengenai serangan dron, letupan dan gangguan komunikasi yang mencederakan beberapa peserta.

“Walaupun ada trauma, saya bangga kerana semua masih bersemangat untuk meneruskan pelayaran. Kabinet dan kerajaan mendokong sepenuhnya misi ini dan kita doakan agar berjaya,” katanya.

Beliau turut menitipkan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh Jemaah Menteri kepada semua peserta misi yang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira parti, agama dan keturunan, mendukung penuh misi ini. Semoga istiqamah dan kuatkan semangat untuk meneruskan tugas,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • Seramai 34 delegasi Malaysia menyertai misi Global Sumud Flotilla
  • Kerajaan Malaysia menggesa negara-negara Arab menghentikan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel
  • Perdana Menteri Malaysia menekankan tindakan tegas terhadap Israel di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha
  • Delegasi GSF merasa berani dan bersemangat untuk meneruskan pelayaran meskipun terdapat ancaman
  • Timbalan Perdana Menteri Malaysia menjamin suara Malaysia akan dibawa ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!