Ajal ke tempat kerja

TAMPIN - Perjalanan seorang pembantu gudang ke tempat kerja bertukar tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar sebuah motosikal lain di Kilometer 2.5 Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Repah di sini, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu,mangsa yang berusia 41 tahun telah disahkan meninggal dunia jam 7.54 pagi ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tampin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kejadian melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang oleh seorang wanita dengan motosikal jenis Honda ditunggang mangsa.
"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari Air Mawang, Kuala Pilah menghala ke Alor Gajah, Melaka.
"Namun, apabila sampai di satu selekoh, mangsa telah gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh ke atas jalan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, kemudian telah datang motosikal Yamaha Ego terbabit dari arah sama lalu melanggar mangsa yang terbaring di atas jalan.
Jelas beliau, mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Tampin namun disahkan meninggal dunia di unit kecemasan kira-kira jam 7.54 pagi.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Penunggang motosikal jenis Yamaha Ego pula alami luka pada anggota badan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tampin," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.
Sehubungan itu ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diminta tampil ke Balai Polis Trafik IPD Tampin atau menghubungi talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Pembantu gudang maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikalnya terbabas di Jalan Tampin-Gemas
- Mangsa berusia 41 tahun meninggal di Hospital Tampin selepas kecelakaan pada jam 6.30 pagi
- Kecelakaan melibatkan motosikal Yamaha Ego dan Honda, mangsa gagal mengawal motosikal
- Mangsa terjatuh dan dilanggar oleh motosikal Yamaha Ego yang datang dari arah sama
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penunggang Yamaha Ego alami luka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

