Wanita kejar penunggang motosikal langgar lari, durian tercicir di jalan

SHAH ALAM - Seorang wanita nekad mengejar penunggang motosikal lelaki yang melanggar keretanya ketika dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands, Pahang.
Kejadian kira-kira jam 4.37 petang itu dirakam dan dikongsikan menerusi akaun TikTok milik @nhsxx_, memaparkan penunggang terbabit cuba melarikan diri selepas membuat pusingan U di jalan berkenaan.
Pemilik akaun TikTok berkenaan, yang mahu dikenali sebagai Nurul Huda berkata, dia pada awalnya hanya mahukan permohonan maaf daripada lelaki terbabit.
“Baru hendak naik Cameron Highlands, sudah kena langgar tepi kereta dengan motosikal ini. Sibuk sangat tengok telefon sambil bawa motosikal sampai langgar orang, lepas itu lari.
“Sekurang-kurangnya minta maaflah,” katanya dalam hantaran video di TikTok miliknya.
Aksi kejar-mengejar yang dipaparkan menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik Nurul Huda turut memperlihatkan beberapa biji durian yang dibawa lelaki itu tercicir di atas jalan ketika dia cuba melarikan diri.
Menurut Nurul Huda, pelanggaran tersebut menyebabkan kerosakan di bahagian bampar keretanya.
“Durian dia (penunggang motosikal) pun jatuh dari motosikal sewaktu melarikan diri, sanggup dia tinggalkan.
“Orangnya sudah hilang, tetapi durian sudah saya ambil,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita nekad mengejar penunggang motosikal yang melanggar keretanya menuju Cameron Highlands
- Kejadian berlaku kira-kira jam 4.37 petang dan dirakam menerusi TikTok
- Nurul Huda hanya inginkan permohonan maaf daripada penunggang motosikal tersebut
- Aksi kejar-mengejar memperlihatkan beberapa biji durian tercicir di jalan
- Kerosakan terjadi di bahagian bampar kereta akibat pelanggaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

