105,890 kenderaan perdagangan belum sahkan pemasangan SLD - Anthony Loke

Anthony Loke. Foto Bernama
Anthony Loke. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 105,890 atau 97.32 peratus kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan bas persiaran masih belum membuat pengesahan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) menjelang penguatkuasaan wajib pada 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu melibatkan 2,528 bas ekspres, 6,241 bas persiaran dan 100,036 lori barangan dengan berat melebihi 3,500 kilogram yang didaftarkan selepas 2015.

“Daripada keseluruhan 108,805 kenderaan yang diwajibkan ada SLD, setakat 23 September hanya 2,915 kenderaan atau kurang tiga peratus yang telah disahkan.

“Ini angka yang sangat rendah dan menunjukkan sikap tunggu dan lihat dalam kalangan pengusaha,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kekal komited memastikan semua bas ekspres dan bas persiaran mematuhi keperluan SLD bagi mengelakkan pemandu memecut melebihi had laju.

“Kita tidak mahu tragedi seperti nahas bas UPSI di Gerik, Perak berulang akibat kelajuan berlebihan. SLD ini adalah langkah pencegahan yang mesti dipatuhi,” katanya.

Anthony menegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap tarikh penguatkuasaan.

“Penguatkuasaan tetap bermula 1 Oktober, cuma pada peringkat awal, kita akan keluarkan notis 114 terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan yang gagal mematuhi arahan ini.

“Notis ini memberi masa 10 hari kepada mereka untuk ke JPJ dan membuktikan pengesahan SLD telah dibuat. Jika mereka berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, tiada tindakan saman akan diambil,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, JPJ mempunyai peralatan khas untuk mengesan sama ada kenderaan mempunyai SLD yang aktif atau telah dinyahaktifkan.

“Kita tahu ada pihak yang cuba mematikan SLD. Sebab itu kita wajibkan pengesahan setiap dua tahun dan semua laporan kefungsian perlu dimuat naik ke sistem JPJ untuk tujuan pemantauan,” katanya.

Anthony turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap sebahagian pengusaha yang tidak serius mematuhi arahan kerajaan.

“Industri seolah-olah mencabar kesabaran kita. Arahan sudah dikeluarkan sejak Jun tetapi sehingga kini mereka tidak ambil endah,” katanya.

Menurut beliau, kementerian mengambil kira beberapa alasan teknikal yang dikemukakan pengusaha tetapi ia tidak boleh menjadi sebab untuk menangguhkan pelaksanaan.

“Kita sudah memberi ruang secukupnya. Tetapi jangan fikir kerajaan tidak serius. Jika selepas 1 Oktober masih gagal patuh, tindakan lebih tegas akan diambil,” katanya.

Beliau menambah, buat masa ini pemeriksaan SLD belum diwajibkan melalui Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan.

“Kita mulakan dengan penguatkuasaan di jalan raya dahulu. Jangan fikir ini akan kekal selama-lamanya kerana Puspakom juga mungkin diwajibkan pada masa hadapan,” katanya.

Anthony menegaskan pengusaha perlu segera melaksanakan pemasangan dan pengesahan SLD bagi memastikan operasi kenderaan tidak terganggu.

“Jika mereka terus mengabaikan arahan ini, mereka sendiri yang akan berdepan kesan apabila kenderaan tidak dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sebanyak 105,890 kenderaan perdagangan belum pasang peranti had kelajuan menjelang penguatkuasaan wajib pada 1 Oktober
  • Kenderaan terlibat termasuk 2,528 bas ekspres, 6,241 bas persiaran dan 100,036 lori barangan
  • Hanya 2,915 kenderaan atau kurang tiga peratus yang telah disahkan mempunyai SLD setakat 23 September
  • Penguatkuasaan SLD bermula 1 Oktober, pemilik kenderaan gagal patuh akan dikeluarkan notis 114
  • JPJ mempunyai peralatan khas untuk mengesan kenderaan dengan SLD aktif atau dinyahaktifkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!