Semakan kelayakan BUDI95 bermula Khamis ini

SHAH ALAM - Kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my bagi memudahkan rakyat Malaysia menyemak profil kelayakan dan baki penggunaan bulanan subsidi petrol RON95 bermula Khamis ini.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka melalui kemudahan portal tersebut.
"Kerajaan telah menyediakan portal yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9 pagi hari Khamis, 25 September.
"Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI Madani di nombor 1300-88-9595, juga mulai 9 pagi hari Khamis," kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia telah direka dan diteliti agar proses berkenaan tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima.
"Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, Kerajaan Madani akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi iaitu sekitar RM2.60 seliter.
"Dengan pemansuhan subsidi pukal, kerajaan mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, penjimatan tersebut akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Jelas kenyataan itu, semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
"Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mana 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
"Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan," kata kenyataan itu.
MOF turut memaklumkan, siling kelayakan bulanan yang tinggi itu juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.
Ringkasan AI
- Portal www.budimadani.gov.my disediakan untuk menyemak profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi petrol RON95
- Pemandu e-hailing boleh memohon tambahan siling kelayakan melalui portal tersebut
- Portal dibuka untuk umum pada 9 pagi, 25 September dan talian bantuan 1300-88-9595 turut disediakan
- RM11 bilion diperuntukkan untuk menampung perbezaan harga bersubsidi RON95 dan harga pam tanpa subsidi
- Warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
