Kerajaan dicadang wujud kad petrol khas pesawah - ADUN Kota Siputeh

ALOR SETAR - Kerajaan disaran mewujudkan kad petrol khas pesawah bagi memastikan golongan tersebut mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian.
Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (Gempita), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Muni berkata, cadangan itu dibuat selepas melihat inisiatif pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak mengambil kira realiti penggunaan petrol untuk kelangsungan kerja pesawah di bendang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan seperti sistem subsidi nelayan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
"Kad ini mestilah membolehkan pesawah membeli petrol bersubsidi bagi peralatan kecil mereka manakala bagi penggunaan diesel pula, perlu diwujudkan mekanisme khusus untuk penyedia perkhidmatan pertanian termasuk pengusaha mesin padi, traktor, jentolak, jengkaut, lori padi dan lain-lain.
"Mekanisme ini boleh diselaraskan juga melalui PPK bagi memastikan subsidi diesel sampai kepada kerja sawah dan tidak diseleweng. Dengan cara ini, kos operasi dapat diringankan, kadar sewaan jentera lebih terkawal dan pesawah tidak lagi menanggung kesan penuh daripada kenaikan bahan api,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pelaksanaan BUDI95 yang menyasarkan subsidi kepada pemilik kenderaan tidak menyentuh langsung keperluan pesawah yang banyak menggunakan bahan api untuk kelangsungan kerja sawah.
"BUDI95 ternyata hanya berasaskan logik pemilik kenderaan dengan julat penyasaran liter subsidi di pam minyak. Ia langsung tidak membumi dengan mengambil kira realiti penggunaan petrol dalam kerja sawah dan pertanian seperti kegunaan pam air, mesin rumput, mesin tabur benih, pam baja dan pam racun yang menjadi nadi kelangsungan kerja pesawah pada setiap musim demi kelestarian keterjaminan makanan negara.
"Sebelum ini, pesawah sudah pun menanggung kesan yang menjerut rentetan daripada penarikan subsidi pukal diesel. Kos bagi perkhidmatan mesin padi, mesin membajak, mesin menuai dan segenap urusan logistik realitinya meningkat mendadak yang memberi kesan juga kepada kenaikan harga input proses penanaman padi," katanya.
Tambahnya, walaupun BUDI95 diperkenal, kos input pertanian terus meningkat, keuntungan semakin menipis, dan akhirnya semua beban jatuh kepada pesawah yang menjadi tulang belakang pengeluaran beras negara.
Beliau berkata, reformasi subsidi mesti dilakukan secara adil dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada golongan tersebut sekali gus memastikan keterjaminan makanan negara.
"Kita tidak menolak reformasi subsidi, tetapi biarlah reformasi itu adil dan menyeluruh, subsidi mesti bersasar dan holistik apatah lagi kepada perkara yang jelas bermanfaat terkait dengan pengeluaran makanan dan keterjaminan makanan negara, bukan semata-mata kepada pemilik kenderaan.
"Pesawah seluruh negara selaku pejuang barisan hadapan untuk kelestarian rakyat, wajar diberi pengiktirafan dan perlindungan ini. Tanpa keadilan kepada mereka, kedaulatan makanan negara akan terus terancam!," jelasnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan disaran mewujudkan kad petrol khas untuk pesawah bagi memudahkan akses subsidi bahan api
- Cadangan kad petrol ini tercetus selepas pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) dianggap tidak memenuhi keperluan pesawah
- Sistem subsidi bagi pesawah boleh dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)
- Pelaksanaan kad petrol bersubsidi diharapkan dapat mengurangkan kos operasi dan kawal kadar sewaan jentera pertanian
- Reformasi subsidi bahan api dipandang perlu untuk adil dan menyeluruh, mementingkan golongan pesawah demi kelestarian pengeluaran makanan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

