'Penduduk setinggan Jinjang sudah tinggal lebih 60 tahun, datanglah runding'

Gaik Meng (kiri) bersama penduduk kampung warga emas, Kew Seong Yee (tengah) dan Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping (kanan).
Gaik Meng (kiri) bersama penduduk kampung warga emas, Kew Seong Yee (tengah) dan Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa mengadakan rundingan segera dengan 37 keluarga setinggan di Jinjang Tambahan sebelum melaksanakan sebarang tindakan pengosongan.

Gesaan itu disuarakan Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Goh Gaik Meng, yang menegaskan bahawa penduduk terlibat wajar diberi pilihan rumah alternatif atau pampasan sewajarnya sebelum diminta keluar.

Datuk Goh Gaik Meng
Datuk Goh Gaik Meng

Menurut beliau, notis pengosongan yang dikeluarkan kepada penduduk terlalu singkat dan tidak disertakan penyediaan rumah alternatif atau pampasan sewajarnya.

“Saya datang memberi sokongan moral kerana penduduk di sini tidak ada persediaan.

"Walaupun ada perjanjian penyewaan, sekurang-kurangnya datanglah berunding dengan mereka yang sudah tinggal lebih 60 tahun di sini.

“Sekarang, bila notis diberi tanpa perbincangan, ke mana mereka hendak pergi? Tidak ada rumah pangsa atau kediaman sementara disediakan,” katanya ketika ditemui di lokasi ketika memberikan sokongannya kepada penduduk di kampung berkenaan pada Selasa.

Beliau menegaskan isu itu bukan sahaja soal pembangunan, tetapi melibatkan hak asasi rakyat yang perlu dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu arus pembangunan tidak dapat dielakkan, tetapi kaedah dan cara melaksanakannya sangat penting.

"Sekurang-kurangnya, berunding dahulu dan jika mahu merobohkan, bincang soal pampasan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Gaik Meng berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat arahan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menangguhkan pengosongan berkenaan, namun tempoh penangguhan itu masih belum dimuktamadkan.

“Kuasa kini ada pada KSN. Jadi kita harap beliau dapat mengarahkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau pihak berkuasa berkaitan untuk turun berunding dengan penduduk,” tegasnya.

Turut hadir memberi sokongan pada sesi pertemuan berkenaan ialah pempengaruh media sosial, Rafidah Ibrahim.

 

 

Ringkasan AI

  • Pihak berkuasa digesa mengadakan rundingan dengan 37 keluarga setinggan di Jinjang Tambahan sebelum pengosongan
  • Penduduk wajar diberi pilihan rumah alternatif atau pampasan sewajarnya
  • Notis pengosongan yang dikeluarkan terlalu singkat tanpa penawaran rumah alternatif atau pampasan
  • Isu pengosongan bukan hanya soal pembangunan tetapi juga hak asasi rakyat
  • Arahan penangguhan pengosongan telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara tetapi tempoh belum dimuktamadkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!