Pembelajaran melalui permainan

20DB Hearing dengan kerjasama KidZania Kuala Lumpur melancarkan Pusat Pembelajaran 20dB bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan pendengaran sejak usia muda.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 20dB Hearing, Mok Yong Yaw berkata, pusat berkenaan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merasai pengalaman secara langsung melibatkan bunyi, ujian pendengaran serta simulasi kerjaya ahli audiologi.
“Melalui aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif, kanak-kanak bukan sahaja belajar mengenali bunyi malah diperkenalkan dengan peranan ahli audiologi dalam bidang kesihatan.
“Misi kami ialah menggabungkan teknologi pendengaran bertaraf dunia dengan sentuhan penjagaan tempatan,” katanya selepas Majlis Pelancaran 20dB Mini Centre di Petaling Jaya pada Jumaat.
Hadir sama, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Marniza Omar; Presiden Persatuan Audiologi Malaysia merangkap Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Sarah Rahmat dan Ketua Jabatan Audiologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Nur Azyani Amri.
Tambahnya, inisiatif tersebut sekali gus memudahkan orang ramai memahami penjagaan pendengaran yang diyakini keluarga dan bersifat mesra.
“Pendekatan pembelajaran melalui permainan membolehkan kanak-kanak memahami kepentingan pendengaran.
“Mereka juga dapat melihat penyelesaian seperti alat bantuan pendengaran sebagai satu cara menikmati kehidupan lebih bermakna,” ujarnya.
Malaysia ketika ini berdepan kekurangan pakar audiologi berbanding keperluan jangka panjang, sekali gus menjadikan pendedahan awal kepada bidang itu sangat penting.
Dengan memperkenalkan audiologi sebagai kerjaya di KidZania, inisiatif ini membantu memberi inspirasi kepada generasi baharu mengenai pakar penjagaan pendengaran.
Justeru, Pusat Mini 20dB itu mencerminkan misi syarikat untuk menggabungkan teknologi pendengaran bertaraf dunia dengan penjagaan penuh keikhlasan.
Menerusi rangkaian klinik di seluruh Malaysia dan Singapura, 20dB Hearing menawarkan penyelesaian pendengaran penilaian, peranti canggih serta sokongan pemulihan bagi membantu individu menikmati kehidupan lebih bermakna melalui pendengaran lebih baik.
Dalam pada itu, Dr Sarah berkata, masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak sering tidak didiagnosis lebih awal.
“Pendengaran seperti WiFi, jika terganggu maklumat tidak sampai ke otak. Jika masalah berlaku dalam lima tahun pertama, ia boleh menjejaskan pendidikan, komunikasi dan potensi jangka panjang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
