Pikul tanggungjawab ketua kampung pada usia muda

PONTIAN – Pada usia 33 tahun, Mohd Safuan Sahimi membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat apabila dilantik sebagai Ketua Kampung Tanjung Piai, Mukim Serkat bagi sesi 2025–2026.
Anak muda itu mencuri tumpuan dalam Majlis Angkat Sumpah Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Daerah Pontian di Dewan Muafakat Johor, Taman Saujana pada Selasa.
Beliau antara 86 Ketua Kampung dan enam Ketua Masyarakat yang mengangkat sumpah di hadapan Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal.
Bagi Mohd Safuan, pelantikan sebagai bermula pada usia 29 tahun setelah kampungnya tiada mempunyai ketua kampung.
"Walaupun masih muda, saya memberanikan diri menjadi ketua kampung kepada 580 orang penduduk di Kampung Tanjung Piai bagi membantu mereka dalam pelbagai urusan dengan Penghulu dan Pejabat Daerah Pontian.
“Saya perlu kuat dari segi mental dan emosi ketika berhadapan dengan orang-orang kampung terutama golongan yang lebih berusia daripada saya ketika menyampaikan maklumat dan sebagainya,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis angkat sumpah tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan; Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Pekan Nenas, Tan Eng Meng.
Bagi Baharudin Bahri, 71, pelantikannya sebagai Ketua Kampung Kawasan (10) Mukim Pontian merupakan kali kedua selepas penggal terdahulu setelah ditawarkan semula pada tahun ini.
Katanya, dia bersedia meneruskan khidmat kepada 380 orang penduduk di Kampung Parit Sikom Hulu yang juga merupakan tempat kelahirannya sebagai pengantara kepada kerajaan.
Sementara itu, Kamalludin berkata, seramai 86 daripada 88 Ketua Kampung di daerah Pontian hadir menerima watikah pelantikan bagi sesi 2025-2026.
Manakala, dua lagi individu tidak dapat hadir dengan seorang berada di luar negara manakala seorang lagi pelantikannya ditangguhkan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 64 orang merupakan penyandang jawatan yang dilantik semula, manakala 23 lagi merupakan muka baharu yang mewakili Parlimen Pontian dan Tanjung Piai.
“Bagi pelantikan Ketua Masyarakat pula, dua orang disambung perkhidmatan manakala empat individu merupakan lantikan baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan semua individu yang menerima pelantikan perlu bersedia memikul tanggungjawab membantu penduduk setempat.
“Sekiranya menerima panggilan atau pesanan WhatsApp daripada Penghulu Mukim atau Pejabat Daerah, mereka perlu segera bertindak.
“Anda kini sebahagian daripada jentera pentadbiran di bawah Pejabat Daerah Pontian dan perlu terlibat secara aktif dalam program-program kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!