Polis Marin tumpas kegiatan pindah minyak sawit haram

MANJUNG - Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan kegiatan pemindahan minyak sawit bagi tujuan pasaran gelap dengan menahan dua lelaki dalam serbuan di Sitiawan pada Isnin.
Dalam operasi jam 1 petang itu, Unit Risikan Marin (URM) PPM Kampung Acheh menyerbu sebuah bengkel tidak bernombor berhampiran Sekolah Rendah Islam Al-Ummah dan menahan dua suspek warga tempatan berusia 43 dan 53 tahun.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan menerusi Op Taring Landai.

"Pasukan menahan sebuah lori tangki dan lori kanvas yang dikesan terbabit dalam aktiviti pemindahan minyak isirung sawit mentah ke lori kanvas untuk tujuan penjualan secara tidak sah.
"Kedua-dua suspek yang bertindak sebagai pemandu lori tangki dan penjaga bengkel mengaku melakukan transaksi jual beli minyak sawit tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas minyak sawit mentah seberat 40 tan dianggarkan RM318,120 dan kandungan minyak sawit terpakai 800 kilogram bernilai RM4,000.
Katanya, turut dirampas lori tangki Renault, lori kanvas Nissan, lima tong IBC serta pam minyak dan hos dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM775,620.
"Semua rampasan dibawa ke Pejabat PPM Wilayah Satu Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998," jelasnya.
Ringkasan AI
- Pasukan Polis Marin menumpaskan kegiatan pemindahan minyak sawit pasaran gelap di Sitiawan
- Dua lelaki warga tempat setempat berusia 43 dan 53 tahun ditahan
- Operasi berjaya merampas minyak sawit mentah seberat 40 tan dan minyak sawit terpakai 800 kilogram
- Rampasan termasuk lori tangki, lori kanvas dan peralatan lain dengan nilai keseluruhan RM775,620
- Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

