'Pengesahan yang lama tertangguh terhadap hak Palestin'

SHAH ALAM - Tindakan United Kingdom (UK) yang akhirnya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara disifatkan amat bermakna di pentas dunia lebih-lebih lagi buat rakyat wilayah berkenaan.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, pengiktirafan itu penting kerana ia menandakan pengesahan yang lama tertangguh dari Britain terhadap hak Palestin dalam menubuhkan sebuah negara bebas dan merdeka.
Menurutnya, meskipun pengiktirafan dibuat lewat hampir lapan dekad, namun ia lebih baik daripada tiada langsung idea untuk ke arah itu.
“Kami berharap Britain akan memainkan peranan penting dalam usaha menghentikan perang di Gaza, memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke sana secepat mungkin dan berusaha melaksanakan semua resolusi antarabangsa berkaitan penyelesaian dua negara.
“Kesemua langkah ini sangat penting bagi memupuk keamanan dan kestabilan buat semua pihak di Timur Tengah,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Ahad, UK secara rasmi mengiktiraf negara Palestin selepas lebih 100 tahun Deklarasi Balfour yang membuka jalan kepada penubuhan Israel.
Pengumuman tersebut dibuat selepas tekanan semakin meningkat terhadap kerajaan Britain supaya mengumumkan pengiktirafan rasmi.
Langkah UK itu turut dibuat serentak dengan Kanada dan Australia yang mengiktiraf Palestin menjelang pembukaan sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini.
UK secara tradisinya merupakan penyokong kuat Israel, namun mengubah pendirian susulan serangan besar-besaran rejim itu ke atas Gaza yang tercetus selepas serangan mengejut Hamas pada 2023.
Dalam pada itu, susulan timbul dakwaan Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas, Walid memberikan kata dua buat bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer:
“Lebih baik AS bersama rakyatnya berdiri seiring masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf secara tegas keabsahan perjuangan Palestin, daripada melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia.”
Sebelum ini, Schanzer mencipta kontroversi apabila mendakwa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.
Dalam satu hantaran di platform X, Schanzer turut menegaskan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berminat dengan usaha ke arah perdamaian.
Kritikan tersebut muncul selepas Anwar menegaskan pendirian Malaysia untuk terus menyokong Palestin dan menggesa hubungan dengan Israel diputuskan kerana Gaza terus dihancurkan manakala Tebing Barat dirampas.
Ringkasan AI
- United Kingdom mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, tindakan bermakna buat rakyat wilayah tersebut
- Pengiktirafan oleh UK menandakan pengesahan hak Palestin untuk menubuhkan negara bebas dan merdeka
- Walaupun pengiktirafan terlambat hampir lapan dekad, ia dianggap lebih baik daripada tiada langsung
- UK diharapkan berperanan penting dalam usaha menghentikan perang di Gaza dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan
- Pengiktirafan Palestin oleh UK dilakukan serentak dengan Kanada dan Australia menjelang pembukaan sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

