RISDA peruntuk RM600,000 perkasa wanita desa

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi memperkasa pembangunan modal insan dan keusahawanan wanita desa menerusi Program TVET JELITA.
Ia dilaksanakan melalui kolaborasi strategik antara Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), institusi pendidikan milik penuh RISDA dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Kerjasama itu dimeterai sempena Majlis Perasmian Penutup JELITA Open Day: 12 Hours Sprint Training yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Canselor UTeM, Durian Tunggal, Melaka, pada Selasa.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Penasihat TVET JELITA, Datuk Seri Noraini Ahmad; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Zainal Azni Zulkifli.
Pada majlis tersebut, pertukaran dokumen kerjasama strategik disempurnakan oleh Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin mewakili UTeM bersama wakil UCAM, dengan disaksikan oleh Ahmad Zahid dan Manndzri.
Menurut RISDA, menerusi kolaborasi tersebut, kepakaran, tenaga pengajar dan kemudahan latihan UTeM akan digembleng bersama UCAM bagi memperluas akses latihan TVET berasaskan keperluan industri, khususnya dalam bidang teknologi agro, teknologi digital, pengurusan perniagaan serta keusahawanan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RISDA, agensi di bawah KKDW dalam melahirkan lebih ramai wanita desa berkemahiran, berdaya saing dan berkeupayaan menjana pendapatan mampan,” kata RISDA menerusi satu kenyataan.
Diperkenalkan pada tahun 2023, Program JELITA@RISDA telah memanfaatkan 5,390 peserta wanita melalui pelaksanaan 248 kursus kemahiran di seluruh negara sehingga tahun 2025.
Pencapaian itu memperlihatkan usaha RISDA dalam memperkukuh kemahiran dan memperluas peluang ekonomi wanita, khususnya dalam kalangan komuniti pekebun kecil.
Sementara itu, JELITA Open Day yang berlangsung selama dua hari bermula 26 Oktober lepas yang menawarkan 50 latihan pensijilan berasaskan industri dengan sasaran penyertaan 2,000 wanita, selain wacana ilmu, perkongsian kepakaran dan karnival kerjaya.
Kolaborasi UCAM–UTeM ini diharap terus memperkukuh ekosistem TVET dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan usahawan wanita desa yang berdaya saing, selaras dengan agenda Desa Lestari oleh KKDW dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
