Lubang benam Jalan Burma berpunca runtuhan paip kumbahan-IWK

Kejadian lubang benam di Jalan Burma dikesan berlaku pada Ahad.
Kejadian lubang benam di Jalan Burma dikesan berlaku pada Ahad.
A
A
A

GEORGE TOWN – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengesahkan kejadian lubang benam di Jalan Burma berpunca daripada runtuhan paip kumbahan akibat sambungan yang teralih bukannya disebabkan oleh aset lama seperti yang didakwa sebelum ini.

IWK dalam satu kenyataan memaklumkan, sambungan yang teralih itu boleh berlaku secara tiba-tiba di bawah beban berat sekali gus mengakibatkan runtuhan paip berdiameter 525 milimeter jenis graviti bukan paip tekanan (force main) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Paip yang pada awalnya dikenal pasti dan didakwa sebagai paip tekanan sebenarnya terletak di bahagian hulu kawasan lubang benam.

“Hasil siasatan lanjut semalam mengesahkan runtuhan melibatkan paip graviti, bukan paip tekanan,” katanya pada Isnin.

Menurut IWK, kerja-kerja pembaikan kecemasan kini memasuki hari kedua dan dijangka mengambil masa empat hari lagi untuk disiapkan.

“Bagi keselamatan orang ramai, bahagian jalan yang terjejas telah ditutup sementara. IWK telah dan akan terus menjalankan siasatan ke atas aset kumbahan di seluruh Pulau Pinang.

“Ia termasuk di Jalan Burma dengan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) yang menyeluruh serta imbasan Ground Penetration Radar (GPR) sekiranya diperlukan,” jelas kenyataan itu.

Tambah IWK, projek siasatan itu adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

“Selain itu, kerja-kerja penaiktarafan dan pembaikan semula turut dilaksanakan melalui pembiayaan daripada Tabung Sumbangan Modal Pembetungan (SCC).

Artikel Berkaitan:

“Di seluruh Pulau Pinang, rangkaian paip kumbahan meliputi sepanjang 297 kilometer. Usaha penaiktarafan dan pembaikan semula ini melibatkan kos RM284.7 juta sebagai sebahagian usaha menangani infrastruktur kumbahan yang semakin uzur,” katanya.

Dalam pada itu, IWK turut memberi jaminan akan mengambil semua langkah perlu bagi menangani isu berkenaan secara segera dan selamat.

“Kami amat menghargai kesabaran serta kefahaman orang ramai sepanjang tempoh pembaikan,” ujarnya.

Sebelum ini, Jalan Burma ditutup sementara pada Ahad susulan kejadian lubang benam berhampiran simpang masuk ke Jalan Transfer.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan penutupan membabitkan kedua-dua arah dari Jalan Penang iaitu dari Komtar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menuju ke Jalan Burma, bagi membolehkan kerja pembaikan segera dilakukan.

Susulan itu, pengguna jalan raya dilencongkan ke Jalan Lim Chwee Leong sepanjang tempoh pembaikan.

Ringkasan AI

  • Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengesahkan kejadian lubang benam di Jalan Burma disebabkan runtuhan paip kumbahan akibat sambungan yang teralih
  • Sambungan yang teralih menyebabkan runtuhan paip graviti berdiameter 525 milimeter
  • Kerja-kerja pembaikan kecemasan dijangka mengambil masa empat hari lagi untuk disiapkan
  • IWK menjalankan siasatan ke atas aset kumbahan di seluruh Pulau Pinang termasuk pemeriksaan dengan CCTV dan GPR
  • Usaha penaiktarafan dan pembaikan infrastruktur kumbahan di Pulau Pinang melibatkan kos RM284.7 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!