Video tular, lelaki buat gangguan seksual ditahan

BAYAN LEPAS- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun selepas satu video tular memaparkan dirinya melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah premis, di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian itu telah dilaporkan majikan mangsa pada jam 12.17 tengah hari, 19 September lalu di Balai Polis Bayan Lepas.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis dari D11 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya berjaya menahan suspek di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Bayan Lepas kira-kira jam 5.58 petang, pada hari sama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan dengan perkataan atau isyarat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, ia berlaku di sebuah stor kedai mainan kanak-kanak secara dalam talian di Tingkat 5, The Golden Triangle 2, Jalan Dato Ismail Hashim, di sini.
"Mangsa diganggu secara seksual oleh seorang lelaki tidak dikenali yang cuba mengajaknya melakukan hubungan seks.
"Kejadian turut disaksikan seorang lagi pekerja wanita dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis tersebut,” katanya.
Sazalee berkata, video berdurasi 30 saat itu dimuat naik pemilik akaun x @update11111 pada 21 September lalu kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, rakaman berkenaan meraih perhatian ramai dengan 152 tanda suka, sembilan komen dan 60 perkongsian.
Sebelum ini, tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki secara tiba-tiba masuk ke sebuah premis dan menunjukkan kelakuan tidak senonoh kepada seorang wanita.
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun kerana melakukan gangguan seksual terhadap wanita di premis di Bayan Lepas
- Kejadian dilaporkan pada 19 September tengah hari di Polis Bayan Lepas oleh majikan mangsa
- Suspek ditangkap oleh polis di hadapan restoran nasi kandar di Bayan Lepas petang hari yang sama
- Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955
- Gangguan seksual berlaku di stor kedai mainan kanak-kanak online dan dirakam CCTV, video tular di media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

