Cinta tidak perlu riuh, umumkan bila perlu

PERKAHWINAN pasangan selebriti popular baru-baru ini menjadi perhatian ramai. Masakan tidak, dalam dunia hari ini yang segalanya perlu cepat, dikongsi dan dihebahkan, kedua-duanya kekal tenang sehingga detik akhir hari pernikahan.
Dalam arus media sosial dan tekanan masyarakat ingin tahu segala-galanya, ternyata masih ada sisi privasi pasangan ini sehingga segalanya sah di jenjang pelamin.
Penulis tertarik untuk mengambil pengajaran daripada kisah ini. Ia boleh dijadikan panduan dalam menghormati ruang peribadi terutamanya dalam era media sosial yang serba terbuka.
Ternyata hubungan itu tidak perlu tergesa-gesa atau dipertontonkan secara berlebihan sebaliknya dipimpin dengan sabar serta kematangan.
Kisah cinta yang bermula daripada persahabatan itu kemudian berkembang menjadi lebih serius memberi inspirasi kepada ramai, sekali gus menunjukkan bahawa kejujuran, komunikasi dan keserasian dalam matlamat hidup adalah kunci dalam membina hubungan kukuh.
Tindakan pasangan berkenaan menghebahkan perkahwinan dan menyembunyikan hubungan serius walaupun didesak orang sekeliling sesuatu yang dipuji.
Tidak keterlaluan jika penulis katakan ia wajar dinormalisasikan dalam masyarakat kita, selaras dengan prinsip menjaga maruah dan batas pergaulan.
Memetik Pejabat Mufti Wilayah, sebahagian ulama melihat tindakan menyembunyikan pertunangan adalah suatu yang digalakkan dan ada hikmahnya.
“Tiada masalah untuk seseorang itu menghebahkan pertunangannya. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkan dan sambutan seolah-olah seperti berlangsungnya majlis perkahwinan.
“Ini kerana pertunangan itu adalah perjanjian menuju perkahwinan dan pertunangan itu boleh sahaja dibatalkan,” kongsinya.
Menurutnya, kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil mencatatkan, al-Kharasyi Rahimahullah menyebut tindakan itu juga boleh membendung iri hati dan cemburu: “Adapun al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti al-Khitan.
“Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya.”
Rumah tangga yang terbina atas landasan jalan yang diredai, disulami restu keluarga dan didasari nilai-nilai murni ketimuran pasti membawa barakah. Perkahwinan bukan perkara suka-suka sekadar menghalalkan hubungan.
Justeru, agar kedua-duanya mengecap kebahagiaan berpanjangan, perlu ada persediaan dan bekalan.
Acara seperti mengkhatamkan al-Quran misalnya, bukan sekadar pada majlis atau adat semata-mata, malah pengisiannya menunjukkan aspek kerohanian juga diberikan perhatian.
Malah, usai akad nikah, pengantin saling berpelukan dengan ibu bapa, sekali gus menandakan kedua-dua pihak saling merestui.
Tidak hanya itu, keterbukaan dalam menerima permata hati daripada perkahwinan terdahulu juga tidak kurang pentingnya.
Pihak lelaki tidak mengabaikan keperluan emosi cahaya mata daripada hubungan terdahulu manakala pengantin perempuan pula dengan sifat keibuan bersedia menerima kehadiran si cilik dengan pelukan kasih sayang.
Memetik Public Health Malaysia, tindakan yang dilakukan adalah tepat. Peranan orang sekeliling terutama yang paling rapat mustahak dalam membantu emosi dan psikologi kanak-kanak ketika berdepan perubahan besar dalam hidup seperti menerima ahli keluarga baharu.
“Kanak-kanak sering kelihatan bingung apabila berdepan suasana baharu, lebih-lebih lagi dalam majlis yang penuh orang, kamera dan perubahan besar dalam hidup keluarga.
“Di sebalik wajah comel, ada hati yang sedang belajar menerima perubahan. Kanak-kanak tidak perlukan jawapan panjang. Mereka hanya mahu rasa selamat.
“Selagi ada pelukan, belaian dan suara lembut yang meyakinkan bahawa mereka tetap disayangi, jiwa kecil itu akan kembali tenang,” titipnya.
Bukan sekadar itu, pasangan berkenaan baru-baru ini mendedahkan kebersamaan dari sudut pemikiran menjadi asas penting dalam sesebuah hubungan yang boleh dijadikan panduan.
Katanya, pegangan agama dan pandangan hidup turut dijadikan sebagai sandaran keserasian yang menjamin keharmonian serta kestabilan dalam perhubungan jangka panjang.
Ternyata ia bukan sekadar populariti tetapi sarat pengajaran. Semoga kisah ini menjadi cerminan bahawa cinta yang tenang, matang dan berprinsip jauh lebih indah serta bermakna.
* Azma Mohd Lazim ialah wartawan SinarPlus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
