Zara Qairina: Kenyataan Shafie Apdal tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan - Peguam

KOTA KINABALU – Pasukan peguam yang mewakili pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengecam kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang disifatkan sebagai tuduhan melulu, berbahaya dan menjijikkan.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Ahad, peguam yang mewakili pelajar B, C, D dan E berkata, satu video yang dikongsi di Facebook menunjukkan Mohd Shafie membuat kenyataan berunsur hasutan mengenai prosiding inkues tersebut.
“Dalam video tersebut, Mohd Shafie melabelkan kes ini sebagai ‘pembunuhan’ serta mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.
“Kenyataan itu adalah tuduhan melulu, berbahaya dan menjijikkan. Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang adalah amat tidak bertanggungjawab serta sangat prejudis terhadap anak guam kami,” katanya pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan dilihat sebagai cubaan mengeksploitasi tragedi untuk kepentingan politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang PRN. Mengeksploitasi tragedi untuk keuntungan politik adalah tahap paling rendah yang boleh dilakukan mana-mana ahli politik.
“Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukan di pentas politik,” tegasnya.
Pasukan peguam berkenaan menambah, kenyataan sedemikian boleh merosakkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan, selain tidak menghormati kedudukan inkues sebagai suatu prosiding kehakiman.
“Inkues adalah prosiding kehakiman yang menuntut penghormatan sepenuhnya. Sebarang cubaan mengeksploitasi tragedi ini bagi keuntungan politik atau penciptaan kandungan adalah satu penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.
“Tindakan sebegitu adalah cuai, sama sekali tidak wajar dan jelas merendahkan martabat serta kewibawaan yang wajib dipelihara oleh seorang pemimpin awam,” katanya.
Peguam juga menambah bahawa kenyataan pramatang tersebut tidak hanya melemahkan prinsip bahawa setiap individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah, malah menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina yang masih berduka.
“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti dan keterangan, bukannya diputarbelit dalam ucapan politik atau di media sosial,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan.
Ringkasan AI
- Peguam kecam kenyataan Mohd Shafie Apdal sebagai tuduhan melulu
- Kenyataan itu disifatkan berbahaya dan menjijikkan
- Ia dianggap cubaan eksploitasi tragedi untuk kepentingan politik
- Kenyataan tersebut boleh rosakkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan
- Tindakan itu tidak menghormati prosiding inkues dan keluarga mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
