'Kami faham tekanan penduduk Taman Guar Perahu' - Fawwaz tenang hadapi insiden dimarahi

PERMATANG PAUH - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan tidak berkecil hati dengan insiden dimarahi penduduk seperti video yang tular di media sosial sejak Sabtu.
Pegawai khasnya, Muhammad Hafiz Alias berkata, kejadian itu berlaku pada Rabu lalu ketika wakil rakyat berkenaan turun ke Taman Guar Perahu bagi bertemu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat dan lumpur berpunca daripada tapak projek berhampiran.
Menurutnya, beliau yang mengiringi Muhammad Fawwaz pada hari kejadian terkejut apabila salah seorang penduduk tiba-tiba memarahi dan mencetuskan suasana tegang selepas mereka bersalaman.
“Sebenarnya YB sudah turun melawat kawasan yang terlibat dengan banjir kilat itu pada malam hari kejadian (Selasa), selepas pulang dari Muktamar Pas di Kedah sekitar jam 11 malam.
“Pada Rabu, YB turun sekali lagi bagi melihat keadaan dan berjumpa dengan penduduk selain mahu memastikan mereka yang terkesan membuat laporan polis, namun berlaku insiden seperti dalam video yang tersebar itu.
“Pada awalnya, lelaki itu dilihat dalam keadaan marah ketika bertemu beberapa pegawai agensi kerajaan yang turut turun ke lokasi kejadian dan dia bertambah emosi selepas menyedari kehadiran kami di situ,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Muhammad Hafiz berkata, beliau cuba menjelaskan kepada individu berkenaan mengenai keadaan sebenar serta kehadiran Muhammad Fawwaz sebelum ini, namun dituduh berlagak samseng.
Kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang, katanya, mereka memilih untuk berdiam diri daripada terus berbalah dengan individu terbabit.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang berkata, pihaknya memahami situasi dihadapi lelaki tersebut apabila rumahnya sudah tiga kali dilanda banjir.
Jelasnya, banjir kilat minggu lalu adalah antara yang terburuk sehingga menyebabkan penduduk hilang sabar.
“Kami faham tekanan yang dihadapi penduduk dan sebagai ahli Parlimen kawasan itu, YB telah mengambil tindakan sewajarnya sebelum ini berhubung projek berkenaan malah beberapa kali berjumpa dengan penduduk bagi mendengar masalah mereka,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 240 penduduk di Taman Guar Perahu Indah, Taman Guar Perahu dan Padang Temusu di Penanti dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira jam 5.15 petang.
Air bercampur selut dan lumpur bukan sahaja memasuki rumah penduduk malah menenggelamkan beberapa laluan utama.
Kejadian itu menjejaskan hampir 30 keluarga selain menyebabkan kerosakan kepada tiga kenderaan serta pelbagai peralatan rumah.
Penduduk menyifatkan banjir kali ini antara yang paling buruk sejak beberapa tahun kebelakangan.
Berikutan itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan Notis Berhenti Kerja terhadap pemaju projek pembangunan di Lot PT 63 (Lot 3509), Mukim 20 selepas didapati melanggar syarat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan tidak berkecil hati dimarahi penduduk terjejas banjir kilat
- Insiden berlaku ketika beliau turun bertemu penduduk Taman Guar Perahu yang terjejas akibat banjir kilat dan lumpur
- Muhammad Fawwaz telah melawat kawasan terlibat pada malam sebelum insiden dan turun lagi esok hari untuk bertemu penduduk
- Penduduk terjejas merasa tekanan selepas rumah mereka dilanda banjir tiga kali, banjir terakhir dianggap terburuk
- MBSP mengeluarkan Notis Berhenti Kerja terhadap pemaju projek pembangunan yang melanggar syarat Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

