Dua treler bawa 55 tan tepung disita, nilai rampasan RM1.4 juta

Kedua-dua pemandu lori berusia lingkungan 45 tahun ditahan dan kesemua rampasan termasuk dua lori kontena bernilai RM1.4 juta diserahkan kepada KKM ICQS Padang Besar untuk tindakan lanjut.

1,042 guni putih dan beg kertas berwarna coklat serta biru yang disyaki mengandungi tepung dengan anggaran berat 55,750 kg tidak mematuhi syarat pelabelan ditetapkan KKM - Foto: PGA
1,042 guni putih dan beg kertas berwarna coklat serta biru yang disyaki mengandungi tepung dengan anggaran berat 55,750 kg tidak mematuhi syarat pelabelan ditetapkan KKM - Foto: PGA
A
A
A

PADANG BESAR – Cubaan dua lelaki menyeludup lebih 55 tan tepung tanpa pelabelan sah gagal apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan dua lori treler dalam satu sekatan jalan raya di KM 24 Chuping di sini pada Jumaat.

Kedua-dua lori kontena itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Kompeni C, Batalion 1, PGA Ulu Kinta, Perak dalam operasi khas Op Taring Wawasan Kedah/Perlis yang dijalankan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan utara negara.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil pemeriksaan di bahagian belakang kontena menemukan 1,042 guni putih dan beg kertas berwarna coklat serta biru yang disyaki mengandungi tepung dengan anggaran berat 55,750 kilogram (kg) yang tidak mematuhi syarat pelabelan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

No Image Caption

Menurutnya, barangan tersebut tidak memaparkan kenyataan ‘bukan untuk jualan’ dan tiada alamat pengimport seperti yang diwajibkan di bawah Akta Makanan 1983 serta peraturan pelabelan KKM.

“Kedua-dua pemandu lori berusia lingkungan 45 tahun ditahan dan kesemua rampasan termasuk dua lori kontena bernilai RM1.4 juta diserahkan kepada KKM ICQS Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya pada Ahad.

Siasatan awal mendapati suspek cuba membawa masuk barangan tersebut ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan KKM dan dipercayai mahu menjualnya di sekitar Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Cubaan penyeludupan lebih 55 tan tepung tanpa pelabelan sah digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am di Padang Besar
  • Dua lori treler yang membawa tepung disyaki tidak mematuhi syarat pelabelan Kementerian Kesihatan Malaysia ditahan
  • Tepung tersebut tidak memaparkan kenyataan 'bukan untuk jualan' dan tiada alamat pengimport yang diwajibkan
  • Kedua-dua pemandu lori ditahan dan barang rampasan termasuk lori kontena bernilai RM1.4 juta diserahkan kepada KKM ICQS Padang Besar
  • Kes disiasat di bawah Akta Makanan 1983 dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!