32 kenderaan import RM8.45 juta 'disorok' dalam gudang

Wan Norizan (dua dari kiri) menunjukkan antara kenderaan import yang disita JKDM menerusi Op Purple. Foto: JKDM Kuala Lumpur
Wan Norizan (dua dari kiri) menunjukkan antara kenderaan import yang disita JKDM menerusi Op Purple. Foto: JKDM Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 32 buah kenderaan import tidak berkastam bernilai RM8.45 juta yang disimpan dalam gudang di Damansara, Selangor serta Setapak di sini.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, Op Purple itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 29 Julai hingga 7 Ogos.

Menurutnya, kenderaan import itu disimpan melebihi tempoh penyimpanan 48 bulan di gudang berlesen.

"Hasil pemeriksaan rapi telah menemukan sebanyak 32 unit kenderaan import yang disyaki tak berkastam.

"Pemeriksaan awal mendapati pemilik gudang berlesen telah gagal mematuhi syarat-syarat dalam lesen di bawah Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967 dengan menyimpan kenderaan tersebut melebihi tempoh 48 bulan seperti yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Antara kenderaan import yang disita JKDM menerusi Op Purple.
Antara kenderaan import yang disita JKDM menerusi Op Purple.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan kegiatan terbabit dipercayai menyalah guna pengecualian duti yang dibenarkan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, sepanjang lapan bulan tahun ini setakat Ogos, JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut merekodkan sebanyak 353 kes dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM72.12 juta.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini antaranya melibatkan rampasan rokok putih dan kretek, minuman keras, besi import, bunga ganja dan dron," ujarnya.

Tambahnya, sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Kata beliau, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.

 

Ringkasan AI

  • JKDM menyita 32 kenderaan import tidak berkastam bernilai RM8.45 juta di Damansara dan Setapak
  • Op Purple dijalankan dari 29 Julai hingga 7 Ogos oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Kenderaan disimpan melebihi tempoh 48 bulan di gudang berlesen
  • Penyiasatan berkenaan penggunaan pengecualian duti di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967
  • JKDM merekodkan 353 kes penyeludupan dengan nilai rampasan RM72.12 juta setakat Ogos tahun ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!