Dua individu direman kemuka butir matan palsu RM8.1 juta

PUTRAJAYA - Dua individu masing-masing bekas pemilik syarikat dan bekas Ketua Pegawai Kewangan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengemukakan butir matan palsu berjumlah RM8.1 juta.
Sumber berkata, suspek mengemukakan butir matan palsu melibatkan penyediaan perkhidmatan sewaan mesin, fasiliti dan pelupusan sampah.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 6.30 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang haram bagi penyediaan perkhidmatan sewaan mesin serta fasiliti antara 2019 hingga 2021.
“Selain itu, siasatan juga memfokuskan tuntutan perkhidmatan pelupusan sampah pada Januari hingga Oktober 2022 serta penerimaan rasuah,” katanya pada Selasa.
Katanya, siasatan turut menjurus kepada kesalahan jenayah lain mengikut Kanun Keseksaan dan penggubahan wang haram.
Tambahnya, sebanyak 76 akaun bank dibekukan sepanjang Op Flora di 11 premis sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
