628 penjawat awam di Selangor bankrap, pinjaman peribadi punca utama

SHAH ALAM - Sebanyak 628 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam di Selangor direkodkan bagi tempoh 2020 hingga setakat ini.
Pengarah Insolvensi Selangor Pavani Kasi berkata, faktor utama kebankrapan disebabkan pinjaman peribadi diikuti pinjaman perumahan dan pinjaman sewa beli kenderaan.
Bagaimanapun beliau berkata, statistik kebankrapan di Selangor menunjukkan trend menurun khususnya pada 2025 hasil kesedaran literasi kewangan semakin baik dalam kalangan penjawat awam.
"Ini mungkin disebabkan kesedaran diberikan dari masa ke masa menjadikan penjawat awam lebih sedar dalam menguruskan kewangan. Kita nampak trend penurunan dan mahu lebih banyak sehingga angka satu digit atau kosong kebankrapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Literasi Kewangan Penjawat Awam Selangor di sini pada Khamis.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Berhubung kebankrapan akibat hutang kad kredit, Pavani berkata, ia menurun dalam kalangan penjawat awam Selangor.
"Tetapi kesedaran tentang kebankrapan akibat pinjaman peribadi kena dipertingkatkan lagi, antaranya mungkin pihak institusi kewangan boleh lihat semula cara-cara atau syarat memohon yang boleh diperketatkan sedikit,” katanya.
Sebelum ini, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 4,194 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam direkodkan antara 2020 hingga Jun 2025 iaitu sekitar 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam negara ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 628 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam di Selangor direkodkan dari 2020 hingga kini
- Faktor utama kebankrapan adalah pinjaman peribadi, diikuti pinjaman perumahan dan pinjaman sewa beli kenderaan
- Trend kebankrapan menunjukkan penurunan pada 2025 disebabkan peningkatan kesedaran literasi kewangan
- Kesedaran mengenai pengurusan kewangan berkesan dalam mengurangkan jumlah kebankrapan
- Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 4,194 kes kebankrapan penjawat awam dari 2020 hingga Jun 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
