Ribut, angin kencang jejas 18 rumah, masjid di Pantai Remis

IPOH - Sebanyak 18 rumah dan sebuah masjid terjejas akibat ribut serta angin kencang yang melanda sekitar kawasan Pantai Remis, Manjung pada Rabu.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung dalam kenyataan malam ini, memaklumkan menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 8.56 pagi melalui aplikasi WhatsApp daripada kumpulan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
"Kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah malam susulan hujan lebat dan angin kencang berterusan. Anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian pada 12.20 tengah hari sebelum tiba di Masjid Al-Aliah pada 1.15 tengah hari.

"Pemeriksaan mendapati beberapa bumbung masjid serta rumah penduduk termasuk di Taman Nelayan 2, Jalan Pengkalan Baru dan Kampung Cina rosak serta mengalami kebocoran,” menurut kenyataan itu.
PKOD APM turut memaklumkan kebanyakan rumah kini dalam proses baik pulih bagi mengelak daripada kerosakan bertambah buruk memandangkan keadaan cuaca yang masih mendung.
"Kerja penyelenggaraan dan pembaikan segera perlu dilakukan berdasarkan faktor cuaca dan APM Manjung juga akan terus mengemas kini laporan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 18 rumah dan sebuah masjid di Pantai Remis, Manjung terjejas akibat ribut dan angin kencang
- Kejadian berlaku selepas hujan lebat dan angin kencang yang berterusan dari tengah malam
- Anggota APM digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba di Masjid Al-Aliah pada tengah hari
- Bumbung masjid dan rumah penduduk mengalami kerosakan dan kebocoran
- Rumah yang terjejas sedang dalam proses baik pulih untuk mengelak kerosakan bertambah buruk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
