Banjir di Kelantan pulih, mangsa di Sabah meningkat

JPBN Sabah memaklumkan dua lagi PPS dibuka pada Rabu di daerah Sipitang iaitu Dewan Mini Mesapol dan Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah. Gambar hiasan
JPBN Sabah memaklumkan dua lagi PPS dibuka pada Rabu di daerah Sipitang iaitu Dewan Mini Mesapol dan Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2, Gua Musang yang menempatkan 218 orang daripada 51 keluarga ditutup pada Rabu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Bun Tham Eh Gin berkata, PPS itu ditutup pada 10 pagi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"Bagaimanapun, penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga apabila hujan lebat dan perlu patuh arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir petang ini meningkat kepada 2,919 orang daripada 814 keluarga berbanding 2,897 orang daripada 813 keluarga pagi tadi di 25 PPS dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Selagon, Beaufort.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan dua lagi PPS dibuka hari ini di daerah Sipitang iaitu Dewan Mini Mesapol dan Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah.

"Tiga daerah menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa iaitu Beaufort, Papar dan Sipitang manakala Penampang, Membakut dan Putatan mencatatkan penurunan,” menurut JPBN Sabah.

Jawatankuasa itu memaklumkan sebanyak 126 buah kampung terjejas berikutan banjir yang melanda Sabah sejak 9 September. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya dengan penutupan pusat pemindahan terakhir di Gua Musang
  • Semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing
  • Penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga
  • Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,919 orang
  • Dua pusat pemindahan baru dibuka di Sipitang, Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!