Kakitangan Sabah Electricity dikhuatiri lemas ketika bertugas

KENINGAU - Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas bersama dua rakannya dalam kejadian di Kampung Nuntunan Apin-apin, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, Masdi Rasmin, 30-an sehingga kini belum ditemui manakala dua lagi rakannya, sempat menyelamatkan diri ketika mereka menyeberang jambatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 malam.
Katanya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 26 kilometer dari BBP Keningau.
"Menurut laporan, ketika kejadian terdapat tiga kakitangan Sabah Electricity menyeberang jambatan, dua mangsa berjaya menyelamatkan diri namun seorang daripadanya dibawa arus banjir dan pakaian terakhir mangsa adalah vest Sabah Electricity.
"Pasukan bomba mendapatkan maklumat mangsa dan kronologi kejadian dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tebing sungai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, dalam kenyataan Sabah Electricity mengesahkan bahawa seorang kakitangannya telah terlibat dalam insiden tersebut semasa bertugas di lapangan.
Difahamkan, mangsa dipercayai telah dihanyutkan arus deras ketika melaksanakan tugasan operasi dan pasukan penyelamat bersama pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi.
Usaha pencarian sedang giat dijalankan dan Sabah Electricity menegaskan keutamaan syarikat itu pada ketika ini adalah keselamatan serta kebajikan kakitangan yang terlibat, di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa.
"Sabah Electricity akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam operasi ini dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.
"Kami memohon semua pihak menghormati sensitiviti situasi ini serta memberikan ruang kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar," kata kenyataan tersebut.
t
Ringkasan AI
- Seorang kakitangan Sabah Electricity dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Kampung Nuntunan Apin-apin
- Kejadian berlaku pada jam 8.30 malam dan mangsa belum ditemui manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri
- Panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 8.57 malam dan sembilan anggota bomba dikejar ke lokasi
- Kakitangan yang hilang itu terakhir dilihat memakai vest Sabah Electricity
- Sabah Electricity melaksanakan usaha pencarian dan menegaskan keutamaan pada keselamatan kakitangan serta memberi sokongan kepada keluarga mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
