[VIDEO] Makmal ekstasi RM598 juta tumpas, 4 lelaki dicekup
KUALA LUMPUR – Taktik sindiket yang menyewa premis di kawasan perindustrian untuk dijadikan makmal memproses dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) atau ekstasi terbongkar susulan tangkapan empat lelaki dalam serbuan menerusi Operasi Pine (Op Pine) di Lembah Klang pada 10 September lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, dalam operasi yang dijalankan antara jam 8 pagi hingga 11 pagi itu, empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun telah ditahan, dengan rampasan dadah seberat 3,586.45 kilogram dianggarkan bernilai RM598.9 juta.
“Siasatan awal mendapati peranan suspek meliputi koordinator, ahli kimia yang bertanggungjawab dalam proses penghasilan, pembantu, serta penghantar bekalan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Rabu.
Menurutnya, dalam serbuan pertama, tiga lelaki ditahan di sebuah premis sekitar kawasan Taman Perindustrian Kepong.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis tersebut membawa kepada rampasan 136 tong bersama satu bekas plastik berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 3,330 kilogram.
“Kita turut merampas 563 botol kaca berisi cecair bahan kimia dengan anggaran berat sebanyak 1,200 kilogram, lapan tong dan enam plastik berisi serbuk disyaki bahan kimia seberat 213.7 kilogram, serta pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya.
Beliau berkata, serbuan kedua di lokasi berhampiran pula membawa kepada rampasan dua bungkus dan satu tong plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah MDMA dengan anggaran berat 25.3 kilogram.
“Kita turut merampas satu bekas plastik dan 10 tong plastik berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat sebanyak 231.15 kilogram.
“Sebanyak 41 tong plastik dan dua botol kaca berisi cecair disyaki bahan kimia dengan anggaran berat 947.35 kilogram, serta satu bekas dan dua bungkus plastik berisi bahan kimia seberat 52.4 kilogram turut dirampas, selain pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya.

Tambah beliau, serbuan ketiga di sebuah rumah di kawasan Dataran Templer, Selangor berjaya menahan seorang lagi suspek, namun tiada penemuan dadah di lokasi tersebut.
“Siasatan mendapati sindiket yang beroperasi sejak Julai lalu menyewa premis di kawasan perindustrian sebagai lokasi pemprosesan makmal haram sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kita turut menyita lima buah kenderaan pelbagai jenis iaitu Toyota Vellfire, Toyota Unser, Toyota Caldina, Proton X70 dan Mazda 6, sebuah forklift jenis Toyota, wang tunai bernilai RM2,000, sebentuk cincin serta beberapa syiling berwarna keemasan,” katanya.
Mohd Khalid berkata, ujian saringan air kencing awal menunjukkan hanya seorang suspek positif dadah jenis ketamin.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 11 September hingga 17 September 2025, dan reman disambung selama seminggu lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Serbuan Operasi Pine di Lembah Klang membongkar sindiket dadah yang menggunakan premis perindustrian untuk memproses MDMA
- Empat lelaki tempatan ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM598.9 juta
- Sindiket telah beroperasi sejak Julai dan menyewa premis untuk dijadikan makmal haram
- Rampasan termasuk dadah, bahan kimia, dan peralatan memproses dadah
- Siasatan dan tindakan penguatkuasaan dilakukan termasuk penyitaan kenderaan dan barang berharga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

