Jeti Marina Island ditutup sementara

Notis penutupan Jeti Marina Island bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.
Notis penutupan Jeti Marina Island bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.
A
A
A

LUMUT - Jeti Marina Island di Teluk Muroh yang menghubungkan orang ramai ke Pulau Pangkor ditutup bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Penutupan itu dilakukan selari dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, tindakan itu diambil bagi meminimumkan pergerakan keluar masuk ke kawasan pulau bebas cukai berkenaan.

"Sebelum ini kita dapati masih ada pengunjung yang masuk ke Pulau Pangkor, jadi dengan langkah penutupan ini sekurang-kurangnya kita dapat mengawal kemasukan sekaligus mengurangkan risiko penyebaran wabak.

"Dalam tempoh penutupan, jeti ini hanya boleh digunakan oleh agensi kerajaan yang melibatkan kes-kes kecemasan seperti Kementerian Kesihatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau mengingatkan penduduk Pulau Pangkor mematuhi perintah dikeluarkan dan tidak keluar dengan menggunakan bot mereka sendiri.

"Jeti Lumut masih dibenarkan beroperasi seperti biasa ketika ini dan sekiranya terdapat sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Marina Island, Ding Mei Looi berkata, mereka akur dengan arahan pihak berkuasa untuk menutup perkhidmatan di jeti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jalan masuk ke kawasan ini juga ditutup kepada orang awam kecuali penduduk," katanya.