Kebangkitan 13-20

LEGENDA badminton perseorangan negara, Datuk Seri Lee Chong Wei mengimbau kembali detik paling bersejarah dalam kariernya apabila bangkit daripada ketinggalan 13-20 untuk menewaskan jaguh China, Lin Dan pada final Terbuka Malaysia 2006 di Kuching, Sarawak.
Dalam perkongsian sempena sambutan Hari Malaysia, Chong Wei menegaskan, kemenangan penuh dramatik itu bukan hanya lahir daripada ketajaman raket atau kemahiran taktikalnya di gelanggang, sebaliknya berpunca daripada semangat luar biasa penyokong pelbagai kaum yang bersatu padu memberikan sokongan.
“Bunyi sorakan rakyat Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan lain-lain yang bersatu melaungkan ‘Malaysia Boleh!’ memberikan saya kekuatan untuk bangkit daripada ketinggalan 13-20,” katanya.
Chong Wei akhirnya menamatkan perlawanan penuh debaran itu dengan kemenangan 21-18, 18-21, 23-21, sekali gus mengesahkan kejayaan keramat di bumi Sarawak yang masih segar dalam ingatannya hingga kini.
Menurut beliau, kemenangan sebenar malam itu bukan semata-mata terletak pada angka di papan skor, tetapi lahir daripada semangat perpaduan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, negeri atau latar belakang.
“Perpaduan itu adalah kejayaan sebenar. Ketika itu tiada perbezaan antara kita, hanya satu identiti: rakyat Malaysia,” katanya.
Sempena Hari Malaysia, Chong Wei turut menitipkan pesanan agar rakyat mengekalkan semangat penyatuan yang menjadi kekuatan negara sejak dahulu.
“Jangan biarkan politik memecah-belahkan kita. Jangan biarkan kepentingan peribadi meruntuhkan perpaduan yang dibina pejuang negara. Dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, kita semua adalah satu Malaysia,” katanya.
Ringkasan AI
- Legenda badminton perseorangan negara, Datuk Seri Lee Chong Wei mengimbau detik bersejarah bangkit daripada ketinggalan 13-20 untuk menewaskan Lin Dan pada final Terbuka Malaysia 2006
- Kemenangan itu bukan hanya kerana kemahiran tetapi juga disebabkan semangat luar biasa penyokong pelbagai kaum yang bersatu padu
- Sorakan "Malaysia Boleh!" daripada rakyat pelbagai kaum memberi kekuatan kepada Chong Wei
- Kemenangan tersebut adalah simbolik kepada semangat perpaduan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, negeri atau latar belakang
- Chong Wei mengajak rakyat Malaysia memelihara semangat penyatuan sebagai kekuatan negara dan menolak perpecahan akibat politik atau kepentingan peribadi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
