Perebutan tiket Eropah paling sengit dalam sejarah EPL

PEREBUTAN tempat ke Liga Juara-Juara (UCL), Liga Europa (UEL) dan Liga Konferensi bagi musim 2025/26 sedang berlangsung dalam suasana penuh debaran, menjadikannya antara yang paling sukar diramal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dengan hanya berbaki satu perlawanan lagi, sekurang-kurangnya 10 pasukan masih menyimpan harapan untuk mewakili England dalam tiga kejohanan utama Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) itu.
Impian masih menyala
Kedudukan carta EPL dari tangga ketiga hingga ketujuh kini ibarat 'litar perlumbaan terakhir' yang penuh dengan selekoh tajam kerana hanya tiga mata memisahkan lima pasukan dalam kelompok itu, menjadikan setiap sepakan penalti, sepakan sudut dan gol minit akhir mempunyai impak signifikan. Pasukan seperti Newcastle United, Chelsea, Aston Villa, Manchester City dan Nottingham Forest sedang berentap bukan sahaja dengan lawan tetapi juga tekanan mental, keletihan fizikal dan harapan penyokong masing-masing. Dalam situasi ini, kesilapan sekecil mana pun boleh menjadi pemisah antara kegemilangan Eropah atau kekecewaan domestik.
Slot tambahan UCL
Bagi saingan UCL musim depan, EPL diwakili enam kelab iaitu satu rekod baharu hasil pencapaian cemerlang kelab-kelab England dalam kejohanan UEFA sepanjang musim ini. Slot tambahan itu, yang dikenali sebagai Slot Prestasi Eropah (EPS) dianugerahkan kerana England menamatkan musim dalam kelompok dua teratas kedudukan koefisien kelab UEFA. Ini bermakna, lima pasukan teratas liga akan layak secara automatik dan satu tempat lagi telah disahkan milik Tottenham Hotspur yang memenangi trofi UEL selepas menundukkan Manchester United 1-0 dalam final di Bilbao, Sepanyol pada awal pagi Khamis.

Tiga slot jadi rebutan lima kelab
Setakat ini hanya Liverpool dan Arsenal yang telah menempah tiket ke UCL secara rasmi. Manakala, tiga lagi slot berbaki sekali gus perebutan menjadi semakin terbuka. Setiap pasukan membawa naratif tersendiri, Manchester City cuba menebus kekecewaan musim ini dengan kembali ke pentas Eropah, Chelsea berusaha menamatkan musim bergelora dengan nota positif, manakala Forest mahu menulis semula sejarah mereka selepas sekian lama menyepi daripada kejohanan elit.
Chelsea lawan Forest jadi penentu
Satu daripada perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan utama ialah pertemuan terakhir musim ini antara Forest dan Chelsea. Pertembungan kedua-dua kelab itu ibarat 'final tidak rasmi’ bagi menentukan nasib ke UCL. Kemenangan di Stadium City Ground itu bukan sahaja membawa mata penting, malah memberi kesan psikologi besar kepada pesaing lain yang turut menanti keputusan.
Tiket tersembunyi ke Eropah
Di luar radar utama, satu lagi perebutan menarik sedang berlaku antara Brighton dan Brentford yang kini memburu kedudukan kelapan liga, posisi yang mungkin akan membuka laluan ke Liga Konferensi bergantung kepada keputusan akhir kelayakan lain. Untuk dua kelab yang sebelum ini jarang menghidu kejohanan Eropah, peluang sebegini adalah luar biasa dan bakal memberi impak besar dari segi kewangan dan pendedahan antarabangsa. Sebaliknya, Bournemouth dan Fulham secara rasmi tersingkir daripada persaingan ini selepas gagal mencapai mata yang mencukupi untuk mencabar kedudukan kelapan liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

