Tekun Nasional tawar moratorium kepada usahawan terjejas banjir di Sabah

Tekun Nasional tawar moratorium sehingga enam bulan, penjadualan semula pembiayaan serta pembiayaan bertindih bagi membantu usahawan mikro yang terjejas banjir di Sabah. (Gambar kecil: Abdullah Sani)
Tekun Nasional tawar moratorium sehingga enam bulan, penjadualan semula pembiayaan serta pembiayaan bertindih bagi membantu usahawan mikro yang terjejas banjir di Sabah. (Gambar kecil: Abdullah Sani)
A
A
A

KOTA KINABALU - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyediakan moratorium hingga enam bulan kepada usahawan yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pembiayaan akibat terjejas banjir.

Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, inisiatif prihatin banjir itu bertujuan meringankan beban usahawan yang terkesan, sama ada membabitkan kerosakan pada premis perniagaan, kediaman atau stok barangan.

"Usahawan Tekun yang terjejas dengan banjir juga dibenarkan untuk mengeluarkan sebahagian simpanan yang ada dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan.

"Bagi usahawan Tekun yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, mereka boleh memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdullah Sani berkata, mereka juga boleh mengemukakan permohonan di semua pejabat Tekun cawangan dengan menyertakan dua keping gambar premis perniagaan atau rumah yang terbabit bencana serta mendapatkan pengesahan pegawai Tekun di cawangan berdekatan berkaitan bencana banjir.

"Permohonan boleh dikemukakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berlakunya banjir. Tekun Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyediakan moratorium hingga enam bulan kepada usahawan terjejas banjir
  • Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyatakan inisiatif ini bertujuan meringankan beban usahawan
  • Usahawan boleh mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan dan membuat penjadualan semula pembiayaan
  • Mereka yang mengalami kerosakan premis perniagaan boleh memohon pembiayaan bertindih
  • Permohonan pembiayaan boleh dibuat di pejabat Tekun dengan menyertakan gambar premis dan pengesahan pegawai Tekun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!