'Enjin bergema, bendera berkibar' – Semangat rakyat menyala di Ampang

AMPANG – Suasana sambutan Hari Malaysia di Ampang lebih meriah apabila seramai 500 penunggang motosikal menyertai program Ampang Santai Ride yang penuh warna-warni dengan semangat patriotisme pada Selasa.
Konvoi itu menghimpunkan pelbagai model motosikal, khususnya jentera dua lejang popular seperti Yamaha 125, Yamaha RXZ, Suzuki RG, Suzuki RR dan Yamaha SS110 yang menjadi tarikan sepanjang laluan.
Peserta berkonvoi sejauh kira-kira 10 kilometer merentasi tujuh lokasi utama sekitar Ampang, sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menghidupkan kemeriahan Hari Malaysia bersama penduduk setempat.
Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (Pumma), Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, program yang dirancang sejak sebulan lalu itu bukan sekadar aktiviti santai, sebaliknya medium untuk menyatukan penduduk dan memupuk rasa cinta kepada negara.

“Hasrat kami ialah memperingati Hari Malaysia dan menzahirkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat Ampang.
“Konvoi ini juga membuktikan pelbagai kaum mampu bersatu hati, sekali gus mengelakkan perpecahan,” katanya.
Majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet, yang turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu.
Hasry Sham menambah, sambutan hangat penduduk terhadap konvoi julung kali itu menjadi tanda positif, malah ada yang mencadangkan agar ia dijadikan acara tahunan sempena Hari Malaysia.
"Bendera berkibar, enjin bergema, dan semangat muhibah terpancar, Ampang Santai Ride berjaya mengukuhkan mesej bahawa Hari Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang," katanya.
Ringkasan AI
- Suasana sambutan Hari Malaysia di Ampang diraikan dengan kehadiran 500 penunggang motosikal dalam program Ampang Santai Ride
- Konvoi berisi pelbagai model motosikal melintasi tujuh lokasi utama Ampang sambil mengibarkan Jalur Gemilang
- Program ini bertujuan menyatukan penduduk dan memupuk semangat patriotisme
- Presiden Pumma, Datuk Hasry Sham Chasmen, menyatakan konvoi sebagai medium untuk mengelakkan perpecahan antara kaum
- Penduduk setempat menyarankan agar acara ini dijadikan tahunan sempena Hari Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

