Covid-19: Minta Kerajaan Pahang percepat bayar Bantuan Am Bulanan

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta mempercepatkan Bayaran Bantuan Am Bulanan (Peruntukan Kerajaan Negeri) kepada 2,895 penerima sekiranya penularan koronavirus (Covid-19) berpanjangan.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, penyaluran bantuan itu akan mengurangkan beban tanggungan khususnya golongan yang hilang punca pendapatan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 31 Mac ini.

"Pihak kita akui ramai yang terkesan dengan perintah ini, namun jika kerajaan memberi bantuan, ia pasti dapat mengurangkan keresahan mereka yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan, Kerajaan Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan peruntukan berjumlah RM2 juta sebagai bantuan khas kepada rakyat negeri itu yang terjejas sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Haslihelmy berkata, Kerajaan Pahang begitu menitikberatkan kebajikan dan kesusahan rakyat yang ketika ini berdepan dengan Covid-19.

Menurutnya, di samping kerajaan bertungkus lumus mengawal penyebaran pandemik itu, kebajikan rakyat juga diberikan penekanan utama.

"PSAP percaya bahawa peruntukan khas daripada Kerajaan Pahang dan GLC sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan ekoran perintah itu pastinya membantu golongan berkenaan. Sememangnya bantuan sedemikian yang ditunggu oleh rakyat untuk meneruskan kehidupan sepanjang 14 hairi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Apa diharapkan, kerajaan Pahang akan terus menumpukan usaha ke arah membela kebajikan rakyat di negeri ini secara berterusan. PSAP akan terus menjadi 'check and balance' kepada kerajaan negeri Pahang demi kesinambungan kebajikan rakyat di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: