MP PN minta kerajaan golongkan LGBT sebagai pesakit mental

Dr Halimah menjadi wanita pertama diangkat sebagai Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar. - Foto Bernama
Dr Halimah menjadi wanita pertama diangkat sebagai Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) meminta supaya kerajaan menggolongkan kumpulan Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai pesakit mental.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) ketika itu sedang membahaskan Rang Undang-undang Akta Kesihatan Mental (pindaan 2023) di Dewan Rakyat sebelum Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mencelah dan mencadangkan agar golongan tersebut dikategorikan sebagai penyakit mental.

"Adakah (Ahli Parlimen) Kapar setuju dengan cadangan Ahli Parlimen Pasir Salak bahawa golongan LGBT juga dimasukkan dalam masalah kesihatan mental," kata Jamaludin ketika mencelah perbahasan Halimah pada Selasa.

Halimah yang mengakhiri perbahasan beliau pada ketika itu, bersetuju dengan cadangan berkenaan dan memohon agar Dewan Rakyat memasukkan kenyataan itu dalam handsard dewan.

"Masukkan dalam ucapan saya," jawabnya.

Sementara itu, Halimah berkata isu kesihatan mental di negara ini adalah sesuatu isu yang besar terutamanya untuk generasi masa depan dan ia perlu ditangani oleh kerajaan.

"Ini adalah peratusan yang sangat besar dan saya bersetuju supaya bukan sahaja Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi semua kementerian berkaitan perlu duduk bersama-sama mengatasi secara tuntas dan holistik untuk mengatasi masalah kepada mereka yang celaru mental ini sehingga sanggup untuk membunuh diri," ujarnya.

Dalam bacaan kali pertama pada April lalu, Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, pegawai intervensi krisis boleh semasa menjalankan kuasa di bawah subseksyen (2) untuk memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana premis dan masuk ke dalam, atau selainnya masuk secara paksa ke dalam premis dan mana-mana bahagian premis itu atau memindahkan secara paksa apa-apa halangan kepada laluan masuk itu.

Menurut rang undang-undang itu, pegawai berkenaan yang telah menangkap orang di bawah subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang praktik, tetapi tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu, membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan di hospital psikiatri kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar di hospital psikiatri swasta yang diwartakan untuk pemeriksaan.