Himpunan aman Taufan Al-Aqsa diadakan 7 Oktober ini - Mapim

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Satu himpunan aman bagi mengingati peristiwa Taufan Al-Aqsa akan diadakan pada 7 dan 8 Oktober ini sebagai tanda solidariti rakyat Palestin yang terus berdepan perang genosid dan kekejaman tentera Israel.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tarikh 7 Oktober itu dipilih bersempena memperingati genap dua tahun jenayah genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Gaza.

“Acara besar-besaran ini dilakukan bagi mengingatkan seluruh dunia dan rakyat Malaysia tentang kenapa berlakunya Taufan Al-Aqsa, apakah tindakan yang harus dilakukan supaya genosid itu dihentikan serta hukuman kepada Israel atas jenayah perang ini,” katanya kepada Sinar Harian di pejabat Mapim, TTDI Jaya pada Isnin.

Pada 7 Oktober 2023, Hamas mengisytiharkan serangan terbesar dengan melancarkan 5,000 peluru berpandu ke atas Israel susulan pencerobohan rejim Zionis itu di Palestin.

Ekoran itu, Israel melancarkan perang habis-habisan terhadap penduduk di Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan lebih 41,500 orang dan mencederakan lebih 96,000 mangsa.

Kejadian yang dinamakan sebagai Taufan Al-Aqsa itu hanyalah satu episod perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan hak mereka daripada terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Menurut Mohd Azmi, penganjuran tersebut merupakan antara usaha mobilisasi nasional yang digerakkan oleh rangkaian Mapim di peringkat antarabangsa.

Selain himpunan berkenaan, katanya, Mapim turut memohon kebenaran untuk pembacaan khutbah Jumaat berkaitan isu genosid di Gaza melibatkan semua masjid di negara ini.

“Selain itu, kita akan mengadakan demonstrasi untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan melancarkan ‘Food for Gaza’ dengan sasaran sebanyak RM1 juta untuk menyampaikan bantuan makanan menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Gaza,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya juga akan melaksanakan satu misi kemanusiaan ke Pakistan pada 21 hingga 26 September ini bagi membantu mangsa banjir besar yang menjejaskan lebih dua juta penduduk di negara itu.

Katanya, delegasi seramai lapan orang akan digerakkan ke Lahore dan kawasan sekitar Punjab yang teruk dilanda bencana dengan kerjasama NGO tempatan.

“Banjir kali ini sangat besar, hampir 10,000 rumah musnah dan ribuan keluarga terpaksa dipindahkan.

“Justeru, kita rasa menjadi kewajipan untuk turun membantu, bukan sahaja atas dasar persaudaraan Islam, tetapi juga atas nama kemanusiaan dan hubungan erat antara Malaysia serta Pakistan,” jelasnya.

Tambahnya, misi tersebut melibatkan nilai bantuan sekurang-kurangnya AS$25,000 (lebih kurang RM100,000) yang akan disalurkan kepada 7,200 mangsa.

Ringkasan AI

  • Himpunan aman untuk mengingati Taufan Al-Aqsa akan diadakan pada 7 dan 8 Oktober sebagai tanda solidariti rakyat Palestin
  • Acara ini memperingati dua tahun jenayah genosid oleh Israel terhadap rakyat Gaza
  • Taufan Al-Aqsa bermula dengan Hamas melancarkan 5,000 peluru berpandu ke Israel, menyebabkan perang besar dan kehilangan besar pada kedua-dua belah pihak
  • Mapim menggerakkan usaha mobilisasi nasional dan antarabangsa termasuk pembacaan khutbah Jumaat dan demonstrasi
  • Mapim juga merancang misi kemanusiaan ke Pakistan untuk membantu mangsa banjir, dengan kerjasama NGO tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!