Peserta GSF Malaysia tinggalkan Pelabuhan Augusta, teruskan misi kemanusiaan ke Gaza

SHAH ALAM - Seramai 14 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia telah berlepas dari Pelabuhan Augusta, Sicily, Itali selepas menunggu selama 12 hari untuk meneruskan pelayaran kemanusiaan ke Gaza.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ajar berkata, kesemua peserta berada dalam keadaan sihat dan telah menaiki bot masing-masing untuk menyambung misi yang disertai lebih 70 buah kapal dari Sepanyol, Tunisia dan Itali.
"Alhamdulillah semua peserta GSF dari Itali selamat berada di dalam bot dan sihat. Kita berpecah kepada beberapa bot, tak semua duduk dalam satu bot dan perjalanan sangat baik," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai negara dalam flotila berkenaan telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

"Buktinya dalam Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, majoriti negara anggota menzahirkan sokongan kepada penubuhan negara Palestin.
"Jumlah negara yang mengundi menyokong Palestin adalah sebanyak 142, 10 menentang, 12 berkecuali manakala 29 negara tidak hadir," jelasnya.
Ahmad Safuan turut menggesa orang ramai agar tidak berhenti memberi sokongan moral kepada pasukan misi kemanusiaan itu serta terus menyebarkan maklumat berkaitan GSF.
"Perjalanan ke arah membebaskan Palestin masih jauh, begitu juga pelayaran bot-bot GSF untuk ke perairan Gaza.
"Teruskan mendoakan keselamatan misi GSF kali ini dan bercakap mengenainya selalu,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Seramai 14 peserta Global Sumud Flotilla dari Malaysia telah berlepas ke Gaza dari Pelabuhan Augusta, Sicily, Itali
- Peserta berada dalam keadaan sihat dan menaiki bot masing-masing, disertai lebih 70 buah kapal dari Sepanyol, Tunisia dan Itali
- Kesemua peserta selamat berada di dalam bot dan perjalanan berjalan sangat baik
- Penglibatan pelbagai negara dalam flotila telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin
- Majoriti negara anggota PBB menyokong penubuhan negara Palestin, dengan 142 negara mengundi menyokong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

