12 tahun jaga isteri buta, pemuda China digelar suami paling setia

BEIJING - Kisah kesetiaan dan ketabahan seorang pemuda dari China menjaga isterinya yang buta selama 12 tahun menambat hati jutaan rakyat di negara itu.
Memetik laporan South China Morning Post, pemuda bernama Li Juxin, 39, diberi julukan 'suami paling setia' selepas kisahnya mendapat perhatian warganet.
Jejaka asal Qingdao, wilayah Shandong itu berkahwin dengan Zhang Xiying pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Bagaimanapun, peristiwa hitam mula menyelubungi keluarga kecil itu pada 2013 apabila Zhang disahkan menghidap sejenis penyakit mata kronik.
Pada pertengahan 2014, penglihatan Zhang hilang sepenuhnya sehingga menjadikannya buta kekal, walaupun selepas keluarga itu membelanjakan hampir 500,000 yuan (kira-kira RM300,000) untuk menjalani pelbagai rawatan.
Mengimbas kembali detik itu, Li menyifatkan perubahan drastik dalam hidup mereka sebagai satu titik peralihan.
Meskipun diuji dengan dugaan berat, Li tidak pernah patah semangat, sebaliknya berjanji di hadapan isterinya bahawa dia akan sentiasa berada di sisi sepanjang hayat.
Bagi memudahkan pergerakan Zhang, Li sanggup mengubah serta menyusun semula kedudukan perabot dan barangan dalam rumah serta bengkel membaiki keretanya, walaupun tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.
Usaha itu membantu Zhang menyesuaikan diri dengan keadaan baharu dan memudahkannya bergerak tanpa risau terlanggar barang.
Berkat kesabaran dan sokongan suaminya, Zhang memperoleh semula keyakinan diri, kini mampu menguruskan aktiviti harian malah sudah boleh memasak semula.
Kisah pasangan tersebut menuai reaksi kagum luar biasa di media sosial, bahkan rata-rata netizen terharu dengan pengorbanan Li.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

