Larry Ellison kini individu paling kaya di dunia

NEW YORK – Pengerusi Oracle dan tokoh berpengaruh dunia teknologi, Larry Ellison minggu ini dinobatkan sebagai individu terkaya di dunia buat pertama kali, mengatasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk
Menurut data daripada Bloomberg Billionaires Index, nilai kekayaan bersih Ellison meningkat sebanyak AS$101 bilion (RM425.21 bilion) pada Rabu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kekayaannya kepada AS$393 bilion (RM1.67 trilion), mengatasi Musk yang kini bernilai AS$385 bilion (RM1.62 trilion).
Lonjakan kekayaan Ellison didorong oleh kenaikan mendadak saham Oracle, yang meningkat sehingga 41 peratus pada Rabu semasa dagangan harian tertinggi merupakan kenaikan satu hari terbesar dalam sejarah syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Oracle, Safra Catz dalam satu persidangan bersama penganalisis berkata, syarikat itu telah menandatangani empat kontrak bernilai berbilion dolar dengan tiga pelanggan berbeza sepanjang suku fiskal pertama.
Ini menyebabkan jumlah tempahan meningkat kepada AS$455 bilion (RM1.91 trilion), iaitu empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimana beliau bermula
Ellison dilahirkan pada 17 Ogos 1944 di Bronx, New York. Beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya di Chicago selepas ibunya menyerahkannya ketika berusia sembilan bulan akibat masalah kesihatan.
Walaupun pernah dinobatkan sebagai pelajar sains terbaik di Universiti Illinois, Ellison tidak menamatkan pengajiannya. Beliau juga hanya sempat bertahan satu semester di Universiti Chicago sebelum berhijrah ke California untuk mencari peluang baharu.
Di sana, beliau berpindah dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain termasuk di Wells Fargo dan Amdahl Corporation. Di sinilah Ellison mengasah kemahiran pengaturcaraan komputer yang kelak membentuk asas kejayaannya.
Pada 1977, Ellison bersama dua rakannya menubuhkan Software Development Laboratories, yang kemudian membangunkan sistem pangkalan data untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) dikenali sebagai Oracle. Bermula dengan kurang daripada 10 pekerja, syarikat itu mula mencatat pertumbuhan pesat apabila IBM menggunakan produk mereka pada 1981.
Walaupun pernah hampir muflis akibat masalah kewangan, Oracle bangkit semula dan pada 1992 menjadi peneraju global dalam teknologi pangkalan data. Kejayaan itu membuka jalan kepada Ellison untuk memperluas empayar melalui pengambilalihan syarikat lain termasuk PeopleSoft, Siebel Systems, dan Sun Microsystems. Menjelang 2014, Oracle mempunyai lebih 130,000 pekerja dengan nilai pasaran sekitar AS$185 bilion (RM778.85 bilion)
Kini pada usia 81 tahun, Ellison menjadi pemegang saham individu terbesar dalam Oracle. Prestasi syarikat itu melonjak hasil permintaan tinggi daripada pelanggan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan kapasiti pusat data gergasi, sekali gus menyaksikan kekayaan beliau meningkat mendadak.

Dikenali sebagai seorang yang gemar gaya mewah
Selain dunia korporat, Ellison dikenali dengan gaya hidup mewah. Pada 2012, beliau membeli hampir keseluruhan Pulau Lānaʻi di Hawaii. Beliau juga peminat tegar sukan layar apabila pasukan tajaan beliau, Oracle Team USA, mencipta kejutan dengan menjuarai America’s Cup pada 2013.
Pada 2018, Ellison menubuhkan SailGP, liga perlumbaan kapal layar berkelajuan tinggi yang kini menarik penyertaan selebriti seperti Anne Hathaway dan Kylian Mbappé. Dalam tenis, beliau menaik taraf kejohanan Indian Wells di California sehingga digelar 'slama kelima' dunia.
Politik turut menjadi minatnya. Ellison sering menyalurkan sumbangan besar kepada Parti Republikan, termasuk AS$15 juta (RM63 juta) pada 2022 bagi menyokong Senator Tim Scott. Beliau juga rapat dengan Presiden Donald Trump.
Dalam bidang kebajikan, Ellison menyumbang AS$200 juta (RM842 juta) kepada Universiti Southern California pada 2016 untuk membangunkan pusat penyelidikan kanser.-Agensi
Ringkasan AI
- Larry Ellison dinobatkan sebagai individu terkaya di dunia, mengatasi Elon Musk
- Nilai kekayaan bersih Ellison meningkat sebanyak AS$101 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kekayaannya AS$393 bilion
- Lonjakan kekayaan Ellison didorong oleh kenaikan saham Oracle yang meningkat sehingga 41 peratus
- Oracle menandatangani empat kontrak bernilai berbilion dolar dengan tiga pelanggan, menyebabkan jumlah tempahan meningkat empat kali ganda
- Ellison adalah pemegang saham individu terbesar dalam Oracle, dengan prestasi syarikat melonjak hasil permintaan tinggi untuk kapasiti pusat data
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

