100,000 pengunjung dijangka guna perkhidmatan feri Langkawi

ALOR SETAR - Sebanyak 100,000 pengunjung dijangka memasuki pulau peranginan Langkawi menggunakan perkhidmatan feri penumpang bersempena cuti umum Hari Malaysia dan cuti persekolahan.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah pengunjung itu termasuk tempatan dan luar negara yang memasuki Langkawi dari kedua-dua laluan iaitu Kuala Kedah dan Kuala Perlis.
"Sebanyak 118 trip perjalanan tambahan telah tersedia di dalam sistem penjualan tiket. Kita jangka jumlah pengunjung mungkin akan melebihi 100,000 sekiranya trip perjalanan pada waktu malam ditambah.
"Pengoperasian feri akan bermula dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan akan dilanjutkan hingga 10 malam tertakluk kepada permintaan tinggi penjualan tiket secara dalam talian. Ini bagi memberi ruang kepada pengunjung yang ingin bercuti di Langkawi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak syarikat akan sentiasa memastikan pengoperasian feri berada pada tahap kesiagaan yang tinggi sepanjang tempoh cuti umum dan cuti persekolahan ini.
Pengunjung yang ingin membeli tiket secara dalam talian, katanya boleh memuat turun aplikasi Cuti-Cuti Langkawi atau layari laman web www.cuticutilangkawi.com atau membeli tiket secara terus di kaunter tiket di Terminal Feri Kuala Kedah dan Kuala Perlis. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 100,000 pengunjung dijangka memasuki pulau peranginan Langkawi menggunakan feri sempena Hari Malaysia dan cuti persekolahan
- Pengunjung termasuk dari dalam dan luar negara melalui laluan Kuala Kedah dan Kuala Perlis
- Sebanyak 118 trip tambahan sudah tersedia dalam sistem penjualan tiket
- Operasi feri bermula 7 pagi hingga 7 malam, dilanjutkan hingga 10 malam jika permintaan tiket tinggi
- Pengunjung boleh membeli tiket secara dalam talian melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi atau laman web serta kaunter tiket di terminal feri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
